KUALA LUMPUR – Penyanyi veteran, Datuk Dahlan Zainuddin dimasukkan ke Hospital Selayang selepas diserang strok Jumaat lalu.

Penyanyi berusia 78 tahun yang popular dengan lagu Kisah Seorang Biduan itu mendapat serangan tersebut ketika hendak berbuka puasa.

Beberapa laman portal tempatan melaporkan, Dahlan diserang strok di bahagian sebelah kanan badan dan pada empat tahun lalu beliau pernah mengalami masalah sama hingga mengalami lumpuh pada badan sebelah kiri.

Sementara itu, pelakon A. Galak atau nama sebenarnya Zakaria Ahmad turut dilapor mengalami masalah yang sama.

Beliau dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur pada hari yang sama Dahlan dimasukkan ke wad.

Bagaimanapun, keadaannya kini dikatakan sudah pulih namun, doktor memberi nasihat agar beliau tidak banyak bercakap. – MalaysiaGazette