KUALA LUMPUR – Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) menyambut baik pelantikan wakil mahasiswa sebagai ahli senat universiti buat oleh Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)

Pelantikan itu merupakan pertama kali dalam sejarah pendidikan tinggi negara.

Presiden PKPIM, Muhamad Nur Iman Abdul Khudus berkata, pelantikan itu secara tidak langsung menunjukkan pengiktirafan pihak pentadbiran universiti awam terhadap peranan dan keupayaan mahasiswa untuk terlibat secara langsung dalam sebuah badan akademik tertinggi varsiti yang berkuasa terhadap urusan akademik.

“PKPIM mengambil berat akan hal ini kerana mahasiswa merupakan pemegang taruh utama dalam sesebuah institut pendidikan tinggi yang akan terkesan secara langsung dengan dasar-dasar akademik yang ditentukan oleh pihak Senat,” katanya.

Persatuan itu turut berharap universiti-universiti tempatan yang lain turut mengikut langkah UniSZA yang menyahut seruan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik dalam melibatkan golongan mahasiswa dalam hal pengurusan dan pentadbiran universiti.

Semalam, UniSZA mengumumkan pelantikan dua penuntut menjadi Ahli Senat universiti tersebut.

Penuntut yang dilantik ialah penuntut Ijazah Sarjana Muda Sains Sosial (Antropologi dan Dakwah), Harun Osman dan penuntut Ijazah Sarjana Muda Perakaunan, Ahmad Kamil Makhtar.

Naib Canselor UniSZA, Prof Datuk Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan berkata, pelantikan itu adalah langkah strategik UniSZA bagi memberi nafas baharu dalam proses pemerkasaan penuntut.

Tempoh lantikan itu selama dua tahun atau sehingga tamat pengajian dan UniSZA bercadang untuk melantik lebih ramai lagi ahli senat dalam kalangan penuntut mengikut keperluan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast