Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad (tengah) diiringi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail dan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng pada Mesyuarat Majlis Kewangan Negara Tahun 2019 di Kementerian Kewangan Malaysia, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 27 MEI 2019

PUTRAJAYA- Kerajaan pusat bersetuju untuk menghapus baki pinjaman projek air luar bandar dan kerajaan negeri bermula tahun 2001 yang bernilai kira-kira RM3.8 bilion.

Bagaimanapun persetujuan itu tertakluk kepada sama ada kerajaan negeri boleh memuktamadkan skim penstrukturan semula industri bekalan air negara selewat-lewatnya pada 31 Disember tahun ini.

Selain itu, Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad turut mengumumkan pemberian geran yang dikawal selia oleh Kementerian Pembangunan Luar Bandar  menggantikan pinjaman bagi projek bekalan air luar bandar.

“Pelaksanaan hapus kira ini diharap dapat mempercepatkan penstrukturan semula industri bekalan air negara, mengurangkan beban kewangan tahunan negeri dan memastikan faedah berterusan dapat dinikmati oleh rakyat pada jangka masa panjang.

“Dalam masa yang sama, syarikat-syarikat pengurusan perkhidmatan air negeri boleh memberi fokus kepada penambahbaikan kualiti bekalan air,” katanya semasa sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kewangan Negara 2019 di Kementerian Kewangan hari ini.

Selain itu, kerajaan juga meluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM60 juta untuk membiayai Kadar Baharu Pemberian Berdasarkan Tahap Pembangunan Ekonomi Infrastruktur dan Kesejahteraan Hidup mulai 2019 bertujuan melindungi kawasan perlindungan hutan dan marin serta bagi membantu negeri-negeri yang berpendapatan rendah melaksanakan projek bagi meningkatkan hasil mereka.

Majlis Kewangan Negara yang bermesyuarat hampir dua jam itu turut memutuskan bermula 2019, kerajaan negeri layak menerima agihan 50 peratus kutipan cukai pelancongan.

Ia bagi membantu kerajaan-kerajaan negeri menyediakan kemudahan pelancongan, mempromosi dan memasarkan destinasi-destinasi pelancongan di negeri masing-masing.

Ini merupakan kali pertama kutipan cukai pelancongan yang diperuntukkan kepada kerajaan pusat itu dikongsi bersama kerajaan negeri.

Menurut Mahathir, langkah tersebut merupakan antara langkah yang diambil kerajaan pusat untuk membantu kewangan kerajaan negeri dan menunjukkan keperhatinan kerajaan terhadap masalah defisit yang dihadapi oleh negeri-negeri tertentu.

“Sedikit sebanyak kita perlu bantu kerajaan negeri tetapi jumlah (bantuan tersebut) masih mampu ditanggung oleh kerajaan pusat,” katanya ketika ditanya apakah bantuan terbaharu ini tidak akan membebankan keadaan kewangan negara.

Tambah Mahathir, bagi meningkatkan kualiti jalan raya dan keselamatan pengguna, kerajaan menambah baik garis panduan tatacara pemberian Sistem Maklumat Rekod-Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS) termasuk memperluaskan perbelanjaan yang dibenarkan untuk membiayai penyelenggaraan jalan yang tidak mencapai piawaian minimum Jabatan Kerja Raya (JKR) dan tidak didaftar dalam sistem MARRIS atas talian.

“Ini juga meliputi perbelanjaan untuk menaik taraf jalan jambatan dengan had tidak melebihi 15 peratus daripada jumlah perbelanjaan penyelenggaraan sebenar tahun sebelumnya iaitu RM15 juta atau yang mana lebih rendah.

“Bantuan ini tidak termasuk jalan-jalan kampung kerana ia dibiayai oleh saluran lain” ujarnya.- MalaysiaGazette