Lapangan Terbang Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dijangka menerima 100,000 pergerakan penumpang menjelang Hari Raya Aidilfitri, yang kebetulan cuti Pesta Gawai dan Keamatan serta cuti persekolahan.

Angka itu merupakan kenaikan sebanyak 3 peratus berbanding Hari Raya Aidilfitri pada tahun lalu.

Ini kerana, syarikat-syarikat penerbangan – di KLIA dan klia2 menambah lebih daripada 500 penerbangan tambahan untuk menampung kenaikan penumpang domestik dan antarabangsa sepanjang perayaan ini.

Berikutan itu, Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airports, Raja Azmi Raja Nazuddin berkata, pihaknya telah bekerjasama erat dengan semua pemegang kepentingan lapangan terbang untuk memastikan keselamatan dan pengalaman penggembaraan yang selesa bagi para penumpang semasa tempoh puncak bermula sekarang hingga 10 Jun ini.

“Semua perkara penting dan keselamatan seperti pengurusan lalu lintas, tempat letak kereta, kaunter daftar masuk (CIC), pusat pemeriksaan keselamatan, imigresen, kastam, tandas, Aerotrains dan bagasi telah dinaiktiraf tinggi dengan tenaga kerja tambahan tidak hanya disediakan oleh Malaysia Airports tetapi juga agensi-agensi seperti Polis Diraja Malaysia, Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia dan syarikat penerbangan.

“Malah pada Jumaat lepas, kami telah mengumumkan penyusunan semula laluan kastam di balai ketibaan di KLIA Utama, yang mana kami telah menambah enam lorong tambahan untuk mengurangkan kesesakan semasa tempoh seperti ini. Inisiatif yang sama juga akan dilaksanakan di klia2 bermula 1 Jun,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Walaupun telah melaksanakan langkah-langkah ini, Malaysia Airports menyeru penumpang untuk tiba di lapangan terbang awal bagi mengelakkan pesawat terlambat atau penerbangan terlepas.

Penumpang harus tiba seawal tiga atau empat jam sebelum waktu berlepas penerbangan dan diminta menggunakan aplikasi mudah alih MYairports untuk merancang perjalanan mereka ke lapangan terbang.

Melalui aplikasinya, penumpang akan dapat navigasi perjalanan mereka dari rumah ke pintu masuk dengan cepat,” katanya.

Malaysia Airports juga akan menempatkan polis tambahan di lapangan terbang  untuk memantau kenderaan untuk mengelakkan kesesakan lalu lintas.

Pada masa sama, duta-duta lapangan terbang ‘Ask Me’ akan disediakan bagi membantu para penumpang.

Bagi kemudahan penumpang, Malaysia Airports juga menyediakan 5,000 tempat letak kereta percuma selama 30 minit di Long Car Park (LTCP) kepada mereka yang perlu menunggu dan mengangkat penumpang.

Terdapat juga perkhidmatan bas ulang-alik percuma dari LTCP ke terminal-terminal yang beroperasi pada jarak selang 15 minit untuk penumpang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast