Dr. Mujahid Yusof Rawa
Dr. Mujahid Yusof Rawa

KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa menyokong penuh teguran titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berhubung penyalahgunaan masjid dan surau oleh sesetengah pihak untuk aktiviti berbentuk politik kepartian.

Ujarnya, rumah ibadat seperti masjid tidak seharusnya dijadikan tempat penyebaran fahaman politik dan ia perlu bebas daripada itu.

“Saya juga bersetuju dengan titah Tuanku yang menegaskan bahawa masjid dan surau berperanan sebagai tempat menyatukan ummah dan perlu bebas daripada sebarang unsur politik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam kenyataan satu muka surat itu, Mujahid berkata titah Sultan Nazrin itu sejajar dengan konsep Masjid R.A.H.M.A.H (Ramah, Aman, Harmoni, Mesra, Alami dan Hormat) yang diterapkan Kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Malah katanya, penerapan itu penting agar masjid dan surau bebas daripada cengkaman kepuakan, kekelompokan dan kepartian.

“Masjid dan surau perlu menjadi institusi ummah yang bebas daripada segala kepentingan dan hanya menyampaikan perkara kebaikan.

“Kesucian masjid dan surau perlu dipelihara agar tiada pihak yang cuba mengambil kesempatan menyebarkan kebencian atau ideologi dengan menjadikan program-program tertentu sebagai alasan,” katanya lagi.

Sultan Perak semalam mahu Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) menyiasat tiga program di masjid dan surau di negeri itu yang dianjurkan atas nama parti politik, serta penyampaian ceramah agama oleh penceramah yang tidak bertauliah.

Program itu ialah di Masjid al-Khairiah, Kampung Banjar Hilir, Teluk Intan pada 21 Mei, Surau Al-Ittihad Kampung Temiang di sini pada 24 Mei dan di Surau Diri Jumaat Al-Taufiqiah Taman Klebang Jaya, Chemor, pada 22 Mei.

Malah baginda mahu satu siasatan lengkap mengenai ceramah itu dipersembahkan kepada baginda. -MalaysiaGazette