Nasrul Ali Hasan
Nasrul Ali Hasan

KUALA LUMPUR – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) menolak cadangan kerajaan Pakatan Harapan (PH) hendak mewujudkan undang-undang baharu bagi membendung kebencian di media sosial, terutama berkaitan agama dan kaum.

Ketua Wiranya, Nasrul Ali Hasan Abdul Latif berkata, hanya kerana pemimpin DAP merungut dengan perkara itu, maka kerajaan PH menerusi Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Senator Raja Kamarul Bahrin segera mengemukakan cadangannya.

Kata beliau, kerajaan tidak perlu kepada undang-undang baharu lagi, sebaliknya disarankan supaya menambah baik Akta Hasutan yang jelas dapat membendung kes seumpama itu.

“Penasihat DAP, Lim Kit Siang ada menyatakan berhubung kebebasan beragama oleh rakyat Malaysia. Bagi Putra, kebebasan beragama tidak salah, cuma kebebasan menyebarkannya yang ditegah.

“Kenapa ianya ditegah? Kenyataan Kit Siang itu terang-terang cuba memanipulasi dan menutup Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan iaitu Islam adalah agama bagi Persekutuan, tetapi agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan.

“Ini menggambarkan ibarat orang Islam melakukan diskriminasi terhadap penganut agama selain Islam,” katanya dalam kenyataan kepada media, semalam.

Beliau membidas Kit Siang, sebagai pemimpin lama menjadi wakil rakyat sepatutnya lebih faham maksud Perkara 3(1) tersebut.

Kata Nasrul Ali Hasan, rakyat juga perlu faham agama bagi Persekutuan itu bermaksud Islam itu agama bagi Malaysia.

“Secara halus pemimpin terdahulu yang bijak pandai memperuntukan dalam Perlembagaan Persekutuan bahawa Islam itu agama bagi Malaysia.

“Maka tidak perlulah ia dipersoalkan lagi kenapa Islam itu mendapat kelebihan dari pelbagai sudut di Malaysia.

“Perkara yang telah dipersetujui bersama oleh pengasas dan pejuang kemerdekaan terdahulu tidak patut dipertikaikan lagi,” ujar beliau.

Tegasnya, mana-mana pihak yang berbuat demikian mereka sebenarnya tidak layak menggelar atau mengakui dirinya sebagai rakyat Malaysia.

Pada masa sama kata beliau, sehingga kini tidak pernah pun berlaku diskriminasi agama seperti dilaungkan DAP dan kebebasan beragama masih berlangsung kerana orang Islam Malaysia memegang teguh prinsip mengekalkan keharmonian negara dan bersikap toleransi demi menghormati kontrak sosial yang pada asalnya adalah satu pengorbanan besar Raja-Raja Melayu.

“Agenda sebenar DAP adalah mewujudkan prasangka buruk di kalangan umat Islam agar bertelagah sesama sendiri berhubung kebebasan beragama,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast