Anwar Ibrahim
Reaksi Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Konvensyen Belia Kebangsaan 2019 di Universiti Kebangsaan Malaysia Bangi, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK 15 MEI 2019

KUALA LUMPUR – Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu rakyat negara ini untuk terus memperingati jasa dan pengorbanan tokoh sejarah negara, Prof Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim.

Menurut beliau, mendiang adalah insan penting dalam negara kerana merupakan antara individu bertanggungjawab merangka Rukun Negara.

“Jasa dan pengorbanan mendiang yang membantu menggubal Rukun Negara akan terus dikenang rakyat dan negara.

“Saya mengutuskan salam takziah kepada keluarga mendiang dan semoga mereka tabah dan diberi kekuatan menempuh dugaan ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Anak kelahiran Kampar, Perak itu meninggal dunia akibat jangkitan paru-paru di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) 10.13 pagi tadi.

Ahli akademik berusia 82 tahun itu pernah membuat pembedahan pintasan jantung pada Oktober lalu dan keadaan kesihatannya terus merosot selepas pulang daripada rawatan.

Kay Kim meninggalkan isteri Puan Sri Rathi Khoo, 75, serta tiga anak Eddin, Rubin dan Mavin. -MalaysiaGazette