Pengerusi Majlis Permuafakatan NGO FELDA, Datuk Mazlan Aliman

KUALA LUMPUR- Mesyuarat Kabinet esok dijangka memutuskan sama ada peneroka Felda bakal menerima duit raya pada tahun ini atau tidak.

Pengerusi Majlis Permuafakatan NGO FELDA (MPNF), Datuk Mazlan Aliman berharap kerajaan tidak terlalu berkira dengan peneroka Felda yang banyak berjasa memberi sumbangan besar kepada produktiviti negara.

Katanya, beliau dan MPNF telah berusaha sehabis daya untuk mengutarakan permasalahan para peneroka kepada kerajaan termasuk berhubung pemberian insentif hari raya.

“Di peringkat saya, saya telah berusaha secara maksimum.

“Saya sudah berjumpa Tun Daim Zainuddin secara peribadi, saya juga sudah berbincang dengan Datuk Abdul Kadir Jasin yang merupakan antara pasukan yang terlibat di dalam merangka manifesto pilihan raya ke-14.

“Malam tadi, saya bertemu sendiri dengan penasihat ekonomi Perdana Menteri iaitu Dr. Muhammed Abdul Khalid.

“Surat juga telah dihantar sama ada melalui e mel dan aplikasi WhatsApp kepada Setiausaha Politik Perdana Menteri, Muhammad Zahid Md. Arip.

“Keputusannya saya difahamkan esok semasa mesyuarat kabinet sama ada dapat duit raya atau tidak,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Pasar Peladang 2019 di sini hari ini.

Tambah Mazlan, pemberian duit raya kepada peneroka sebenarnya adalah insentif hasil bagi memastikan mereka tidak menjual hasil buah tandan segar (BTS) di luar.

Ia juga menjadi motivasi kepada para peneroka untuk menaikkan jumlah hasil yang telah disasarkan.

Ini sekali gus berbeza dengan pemberian insentif-insentif raya kepada badan atau agensi lain di negara ini, jelasnya.

Dalam pada itu, Mazlan turut melahirkan kekecewaannya kerana Felda tetap melakukan potongan pendapatan terhadap peneroka walaupun ketika semua umat Islam sedang sibuk membuat persiapan untuk menyambut Aidilfitri.

“Biasanya Felda tidak buat potongan apabila hampir dengan perayaan Aidilfitri tetapi kali ini mereka membuat potongan.

“Tambahan pula, para peneroka sepatutnya menerima sara hidup sebanyak RM1,500 tetapi sehingga kini mereka masih menerima RM1,000 sebulan.

“Jadi bila dipotong, pendapatan bersih yang diterima hanya sekitar RM500-600 sahaja. Macam mana hendak beraya?” luahnya kesal.

Menurut Mazlan, beliau berharap kerajaan dapat memberikan insentif sekurang-kurangnya sama banyak dengan apa yang telah diberikan oleh kerajaan terdahulu iaitu RM450 bagi setiap peneroka.

Katanya, ia cuma melibatkan perbelanjaan sekitar RM50 juta sahaja.- MalaysiaGazette

Peneroka FELDA tunggu bonus Aidilfitri

Jika zaman BN peneroka pasti dapat duit raya

Tidak ada duit raya buat peneroka felda setakat ini – Azmin Ali

1 Komen

Comments are closed.