Shaharizukirnain Abdul Kadir
Shaharizukirnain Abd. Kadir

KUALA LUMPUR – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) sehingga kini belum membuat sebarang kata putus berhubung pemberian bonus Aidilfitri kepada lebih 11,600 peneroka FELDA.

Alasan kerajaan untuk memberi keutamaan kepada amaun sara hidup dan wang pendahuluan, amat tidak wajar sekali.

Ini kerana pemberian bonus Aidilfitri merupakan wang ehsan daripada kerajaan, sedangkan wang sara hidup dan wang pendahuluan adalah ‘gaji bulanan’ para peneroka.

Menurut Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abdul Kadir, kerajaan tidak wajar mempertikaikan hak penerimaan gaji bulanan yang sememangnya suatu prosedur bulanan.

“Bonus Aidilfitri ini juga boleh dijadikan kayu ukur keprihatinan kerajaan terhadap nasib peneroka FELDA yang semakin terhimpit dengan nilai komoditi sawit yang masih lagi tidak stabil,” katanya kepada media hari ini.

Beliau berkata, alasan kononnya keadaan kewangan negara menjadi penghalang kepada pemberian bonus Aidilfitri langsung tidak munasabah.

Sedangkan, ujar beliau, peneroka FELDA adalah penyumbang utama kepada pendapatan hasil minyak sawit sehingga mencecah RM80 billion tahun lalu.

“Saya menggesa kerajaan segera menyalurkan bonus Aidilfitri kepada peneroka, tidak perlu pertikaikan wang sara hidup dan wang pendahuluan yang merupakan komitmen berpanjangan daripada kerajaan bukannya wang ehsan Aidilfitri.

“Buktikan keprihatinan kerajaan hari ini dalam memartabatkan nasib peneroka FELDA,” katanya. – MalaysiaGazette