Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador (kiri) beramah mesra dengan sebahagian pegawai PDRM pada Majlis Penyerahan Bungkusan Kuih Raya PDRM sempena Hari Raya Aidilfitri 2019 di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 28 MEI 2019.

KUALA LUMPUR – Polis sudah mempunyai senarai lengkap maklumat dan identiti tekong-tekong yang menyeludup masuk dan keluar pendatang asing tanpa izin di negara ini.

Ketua Polis Negara Datuk Seri Abdul Hamid Bador berkata, polis kini melipatgandakan operasi dan kawalan ketat di sempadan pintu masuk negara termasuk laluan tikus yang wujud di perairan dan darat negara.

“Kita gandakan rondaan tetapi fokus kepada tekong-tekong yang menggunakan Pengesan Kedudukan Global (GPS) untuk berkomunikasi bagi melicinkan penyeludupan dan mengelak dihidu pihak berkuasa.

“Kami ada senarai tekong-tekong dan saya dapat jaminan beberapa Ketua Polis Negeri yang sudah bersedia dengan senarai lengkap tekong-tekong dan identiti penuh mereka, maka tindakan tegas akan menyusul,” katanya dalam sidang media selepas menyerahkan Bungkusan Raya kepada pegawai kanan polis bersama Timbalannya Datuk Mazlan Mansor di Mess Pegawai Kanan Bukit Aman di sini.

Bungkusan itu diserahkan kepada beliau oleh Pengerusi Perkep Datin Seri Norazrin Marzuki melibatkan sebanyak 3,710 bungkusan kjuih raya yang dijangka diedarkan kepada rakan-rakan anggota dan pegawai bertugas semasa perayaan di perbatasan.

Tambah Abdul Hamid Bador lagi, beliau baru balik dari Kelantan dan sempat melakukan tinjauan di Sabah mendapati pasukan anak buah Gerakan Am (PGA) dan Marin Polis bersiap sedia untuk bertugas menjaga keselematan sepanjang sambutan musim Lebaran.

Katanya, mereka kelihatan bersemangat dan secara senyap mencatatkan beberapa kejayaan dalam menangani kes dadah  dan akan meneruskan kawalan itu di perairan dan daratan.

“Untuk Aidilfitri nanti¬† kita akan menambah kekuatan pasukan di sempadan khususnya di pantai Timur Sabah untujk mencegah pencerobohan dan penyeludupan pendatang asing.

“Kebiasaannya laluan tikus ini adalah kawasan bakau sentiasa menjadi laluan pendatang asing dan sindiket penyeludupan.

“Saya bagaimanapun tidak boleh mendedahkan bentuk tindakan yang akan diambil tapi ia akan jadi tindakan sangat efektif,” tegasnya.

Dalam pada itu Abdul Hamid turut menjelaskan ketua ketua Polis setiap negeri telahpun diberikan arahan meningkatkan rondaan di taman-taman perumahan.

“Mereka juga diminta memberi arahan kepada ketua polis di setiap daerah untuk menggerakkan seberapa ramai anggota untuk meronda kawasan perumahan seperti mana tahun tahun sebelum ini.

“Semasa cuti musim perayaan ini kejadian pecah rumah akan meningkat dan kita mahu mencegah ia daripada berulang lagi,” ujarnya lagi.

Justeru katanya, anggota PGA dan trafik tidak dibenarkan bercuti dan akan terlibat tugas sepanjang musim perayaan.

“Walaupun, 10 peratus sahaja bercuti dan 90 peratus bekerja dan infantri memang tidak boleh bercuti, mereka sentiasa bersiap sedia hadapi sebarang kemungkinan,” tegasnya – MalaysiaGazette