Dr Noor Hisham Abdullah
Dr Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merampas sejumlah produk kesihatan tidak berdaftar bernilai RM180,080 dalam satu serbuan di sebuah klinik dan farmasi haram warga Bangladesh di kawasan sekitar Lebuh Pudu dan Jalan Silang di ibu negara, kelmarin.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, serbuan dilakukan oleh Bahagian Penguatkuasaan Farmasi Ibu Pejabat KKM bersama Bahagian Penguatkuasaan Farmasi Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya selepas melakukan risikan terperinci.

Menurutnya, serbuan yang sama telah dijalankan pada tahun lalu ke atas lima premis haram melibatkan warga Bangladesh di kawasan yang sama.

“Risikan awal mendapati kebanyakan produk dan ubat tersebut telah diseludup dari Bangladesh dan India.

“Bagi mengaburi mata pihak berkuasa, modus operandi mereka telah ditukar di mana produk-produk tersebut disorok, disimpan dan diselindungkan di tempat-tempat yang sukar diakses di sebalik pelbagai produk makanan dan barangan am termasuklah mengubah waktu operasi mereka dengan hanya lebih aktif pada hari minggu<” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Noor Hisham menambah, penjualan produk kesihatan yang tidak berdaftar adalah melanggar Peraturan 7(1)(a), Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

Tegasnya, mereka yang didapati bersalah boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM 25,000 atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya.

Katanya lagi, orang awam boleh menyemak status dan nombor pendaftaran MAL sesuatu produk melalui laman sesawang http://npra.moh.gov.my atau dengan menghubungi Bahagian Regulatori Farmasi Negara di talian 03-78835400 di samping memastikan label Hologram Meditag pada pembungkusannya.

Selain itu tambah Noor Hisham, orang ramai juga boleh memuat turun aplikasi NPRA Product Status daripada Google Play Store bagi menyemak status pendaftaran produk tersebut.

“Sebarang aduan berkaitan produk tidak berdaftar boleh disalurkan kepada Program Perkhidmatan Farmasi, KKM melalui laman sesawang http://www.pharmacy.gov.my.

“Aduan juga boleh dibuat melalui portal Sistem Pengurusan Aduan Agensi Awam (SisPAA) di alamat http://moh.spab.gov.my. atau mana-mana Cawangan Penguatkuasaan Farmasi yang berdekatan ATAU melalui talian 03-78413200 agar tindakan sewajarnya dapat diambil bagi membanteras penjualan produk ini di pasaran,” ujarnya. – MalaysiaGazette