TOKYO – Dinamik yang sering berubah-ubah dalam order antarabangsa dan bagaimana teknologi baharu akan mencorak masa depan akan menjadi intipati ucaptama Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada pembukaan Persidangan Antarabangsa Mengenai Masa Depan Asia ke-25 (Persidangan Nikkei) esok.

Pada tahun ini persidangan itu dijangka bakal menyaksikan perbincangan hangat memandangkan dunia kini dilanda pelbagai ketidaktentuan termasuk perang perdagangan Amerika-China, persaingan untuk menjadi kuasa ketenteraan berteknologi tinggi dan kebangkitan dasar perlindungan.

Perdana Menteri akan menjadi pemimpin pertama yang akan menyampaikan ucapatama pada persidangan itu tahun ini, yang tepat bertajuk “Mencari Order Baharu Dunia – Mengatasi Huru-hara”.

Para pemimpin Asia lain yang juga dijadual menyampaikan ucaptama pada persidangan itu ialah Perdana Menteri Bangladesh Sheik Hasina, Perdana Menteri Kemboja Hun Sen dan Presiden Filipina Rodrigo Duterte.

Persidangan Nikkei, yang dianjurkan Nikkei Inc setiap tahun sejak 1995, menghimpunkan ketua-ketua kerajaan dan para pemimpin perniagaan untuk berkongsi wawasan mengenai masa depan Asia dan dianggap sebagai antara persidangan antarabangsa terpenting di Asia.

Duta Besar Malaysia ke Jepun, Datuk Kennedy Jawan berkata acara itu menyediakan platform buat Perdana Menteri mengetengahkan dasar-dasar dan pendirian Malaysia, selain menarik lebih banyak perdagangan dan pelaburan ke Malaysia.

Dr Mahathir yang dijangka tiba di Tokyo petang ini untuk lawatan tiga hari, jarang gagal menghadiri persidangan itu kecuali empat kali.

Ini adalah lawatan kali keempat Dr Mahathir ke Jepun setelah beliau kembali menjadi Perdana Menteri Malaysia buat kali kedua berikutan kemenangannya dalam pilihan raya umum pada Mei tahun lepas.

Dalam lawatan terakhir beliau pada bulan November tahun lepas, Dr Mahathir telah dikurniakan dengan anugerah tertinggi Jepun “Grand Cordon of the Order of the Paulownia Flowers” oleh bekas Mahajara Jepun Akihito.

Acara penting lain dalam lawatan kerja beliau kali ini ialah pertemuan dua hala dengan Perdana Menteri Jepun Shinzo Abe yang dijadualkan pada 31 Mei.

“Kedua-dua pemimpin akan berbincang mengenai perkara-perkara yang menjadi kembimbangan dan kepentingan bersama untuk memperkukuhkan lagi hubungan dan kerjasama dua hala dalam pelbagai bidang termasuk perdagangan, pendidikan, pertahanan dan lain-lain,” kata Kennedy pada sidang media di sini.

Sementara itu Kyodo melaporkan Malaysia kini dalam proses berunding dengan Jepun mengenai penghantaran pekerja kolar biru ke negara itu di bawah program visa baharu yang telah dilancarkan pada bulan April, menurut laporan itu yang memetik sumber-sumber rasmi.

Menurut laporan itu, kedua-dua negara menyasarkan untuk mencapai kesepakatan itu seawal bulan Julai tahun ini dan perkara itu akan dibincang secara lebih terperinci dalam lawatan Dr Mahathir kali ini.

Perkara lain yang akan diberi perhatian penting oleh Dr Mahathir dalam lawatan ini adalah menarik lebih banyak pelaburan Jepun ke Malaysia.

Perdana Menteri juga akan menghadiri Dialog Perniagaan Malaysia-Jepun yang dianjurkan bersama oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Pertubuhan Perdagangan Luar Jepun (Jetro) untuk berjumpa dengan lebih 20 syarikat terkemuka Jepun seperti Mitsubishi Corporation, Sumitomo Corporation, Sankyu, Mitsui & Co, Kawasaki Heavy Industries dan NEC.

Dr Mahathir juga akan memberi ucaptama kepada Kelab Wartawan Asing Jepun (FCCJ) mengenai hubungan masa depan dan hala tuju dasar Malaysia – Jepun di hadapan kira-kira 300 orang hadirin.

Jadual lawatan beliau termasuk menerima kunjungan hormat pemimpin lain yang menghadiri persidangan itu selain wakil-wakil daripada Persatuan Persahabatan Anggota-Anggota Parlimen Jepun-Malaysia dan Universiti Toyo.

Menurut kenyataan Kementerian Luar, lawatan ini dijangka akan memperkukuhkan lagi ikatan kukuh dan hubungan erat di pelbagai peringkat yang telah sedia terjalin antara Jepun dan Malaysia di bawah Dasar Pandang Ke Timur.

Dr Mahathir akan diiringi isterinya Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, Timbalan Menteri Luar Datuk Marzuki Yahya dan para pegawai Kementerian Luar dan Pejabat Perdana Menteri.- BERNAMA