Insiden tembakan di Virginia Beach menyebabkan 11 orang terbunuh.

RICHMOND – Seramai 11 orang terbunuh dan sekurang-kurangnya enam lagi tercedera apabila seorang pekerja pihak berkuasa tempatan melepaskan tembakan di pusat majlis perbandaran di bandar Virginia Beach, kata ketua polis bandar itu.

James Cervera berkata, pihaknya sedang menyiasat insiden di bandar pesisir pantai itu. Seorang pegawai polis antara mangsa yang terkena tembakan namun beliau terselamat.

Katanya, suspek merupakan pekerja majlis perbandaran yang telah lama berkhidmat dan menyifatkan beliau ‘bersungut’ ketika kejadian.

Lelaki bersenjata api itu melepaskan tembakan secara rambang ke arah para pekerja yang berada dalam bangunan operasi di Bangunan Perbandaran Virginia Beach.

Cervera berkata, polis turut melepaskan tembakan yang menyebabkan suspek yang bekerja di Jabatan Air bandar itu terbunuh dalam kejadian jam 4 petang waktu tempatan.

Virginia Beach terletak di Teluk Chesapeake, pesisir pantai Atlantik dengan penduduk seramai 450,000 orang.

“Ini merupakan hari paling dahsyat dalam sejarah Virginia Beach,” kata Datuk Bandar, Bobby Dyer pada sidang media sambil menambah mereka yang terlibat adalah kawan, rakan sekerja dan jiran.

Terdahulu, Jabatan Pois Virginia Beach dalam akaun twitternya menasihatkan orang ramai mengelakkan kawasan tersebut.

Seorang penjawat awam memberitahu rangkaian televisyen WAVY-TV, ketika kejadian para pekerja berada di meja masing-masing apabila mereka terdengar bunyi tembakan dan melihat seorang wanita mengalami kecederaan teruk di tangga.

Ahli Majlis Perbandaran, Barbara Henley memberitahu Virginian-Pilot, beliau yang baru tiba di bangunan majlis perbandaran endapati para pekerja berdiri di luar bangunan menggunakan telefon bimbit masing-masing, dan seseorang memberitahunya bahawa terdapat kejadian tembakan dan menasihatkannya untuk meninggalkan tempat itu.

Henley kembali ke keretanya apabila beliau terdengar suara seorang lelaki berteriak ‘menyiarap’ dan mereka yang berada di situ lari bertempiaran.

Beliau memberitahu akhbar itu: “Saya berasa sangat takut,”. – Agensi