Zapril Hashim

KUALA LUMPUR – Di saat umat Islam lain bergembira menunggu ketibaan Aidilfitri, bekas pemain bola sepak Selangor, Zapril Hashim pula hidup dalam keadaan uzur dan serba kekurangan.

Bekas pemain sayap kanan The Red Giants yang hidup sebatang kara itu baru sahaja selesai menjalani pembedahan tiga jari kaki ekoran menderita penyakit kencing manis.

Zapril, 61, berasal dari Rantau, Negeri Sembilan itu tidak pernah menerima sebarang bantuan daripada mana-mana pihak dan kini dalam usaha untuk mendapatkan bantuan daripada Lembaga Zakat Selangor.

“Harap-harap lepas ini saya dapat sedikit bantuan untuk bantu saya kurangkan perbelanjaan harian dan rawatan susulan selepas ini. Sebelum ini adik-beradik dan kawan-kawan ada beri bantuan kepada saya untuk jalani pembedahan.

“Dan nasib baik juga ada Azhar Sharif (kawan yang juga bekas pemain Selangor) pujuk saya ke hospital dan buat pembedahan ini,” katanya yang terpaksa berulang-alik ke hospital pada setiap minggu untuk rawatan susulan.

Anak kedua daripada enam beradik itu kini menetap di sebuah rumah yang disewakan bilik dengan harga RM500 sebulan di Chow Kit.

Antara kejayaan besar Zapril bersama pasukan Selangor ialah membantu pasukan itu menjulang Piala Malaysia sebanyak lima kali.

Sementara itu, rakan Zapril yang juga Pengurus pasukan Bola Sepak KL Oldboys, Zulkifli Mohamed menggesa Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) menubuhkan satu badan khas untuk membantu bekas pemain Selangor.

“Apa yang berlaku kepada Zapril adalah satu perkara yang perlu diambil berat terutama sekali buat FAS. Ia bukan tanggungjawab sepenuhnya FAS tapi sekurang-kurangnya FAS boleh bekerjasama dengan badan korporat di Selangor untuk membantu bekas pemain sebagai tanggungjawab sosial dari segi tabung kebajikan bekas pemain.

“Ini adalah satu sistem atau eleman yang perlu diterapkan dalam sistem bola sepak di negara maju. FAS seharusnya wujudkan satu jabatan yang boleh melihat hal ehwal kebajikan bekas pemain. Mereka telah berjuang untuk pasukan Selangor,” katanya. – MalaysiaGazette