Najib Razak.

KUALA LUMPUR – Penipuan kerajaan Pakatan Harapan (PH) berhubung bahaya kilang Lynas terdedah apabila Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memutuskan untuk terus membenarkan kilang nadir bumi itu terus beroperasi di Malaysia.

Namun, Datuk Seri Najib Razak mempersoalkan mengapa kerajaan Pakatan Harapan masih mahu menyalahkan kerajaan Barisan Nasional yang membawa masuk pelaburan Lynas di Malaysia.

“Korang menipu kata ini loji nuklear dan amat berbahaya kerana boleh meletup pada bila-bila masa. Ramai akan jadi mutant – tak kira Melayu, Cina atau India.

“Sekarang pakar-pakar di bawah kerajaan PH telah membuktikan bahawa Lynas bukan loji nuklear, tidak akan meletup dan tidak menyebabkan rakyat menjadi mutant. (ikan, udang, ayam, kambing, pisang dan sotong pun kononnya boleh jadi mutant kerana Lynas – menurut satu video memasak yang pernah saya tonton)

“PH dah kantoi menghasut Rakyat dengan menipu tapi masih mahu salahkan BN?,” katanya.

Bekas perdana menteri itu mengulas kenyataan Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh yang mendakwa PH terpaksa memikul beban dengan membetulkan kesilapan kerajaan terdahulu yang menggadaikan keselamatan rakyat atas nama keuntungan dengan membenarkan loji pemprosesan nadir bumi beroperasi di Gebeng.

Menurut Fuziah, sama ada kerajaan dahulu telah tertipu dengan mempercayai naratif Lynas atau hanya mementingkan keuntungan tanpa memikirkan keselamatan rakyat sewaktu membenarkan operasi terbabit.

Hakikatnya, katanya, ia tetap sama kerana kerajaan hari ini perlu mencari jalan penyelesaian ke atas sisa buangan radioaktif tersebut.

Menjawab kenyataan itu, Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan bertanya: “Maksud menteri ini, PH terpaksa untuk teruskan menggadai nyawa rakyat ke?

“Apa terjadi dengan ikrar bertulis “hari ini menang, esok tutup Lynas” yang berpuluh pemimpin telah tandatangan?

“Masih tak ada kuasa untuk tutup ke jika benar-benar Lynas gadaikan keselamatan rakyat?

“Tapi PM ke-7 kata Lynas ini sebenarnya pelaburan asing yang amat besar, berharga dan mustahak. Menteri pula kata ianya beban,” sindirnya. – MalaysiaGazette