Gambar hiasan

NEW YORK – Minyak merosot lebih dari 3 peratus dan mencatatkan kejatuhan bulanan terbesar dalam tempoh enam bulan, selepas Presiden Donald Trump menimbulkan ketegangan perdagangan global dengan mengancam tarif di Mexico, rakan dagangan utama Amerika Syarikat dan pembekal utama minyak mentah.

Niaga hadapan minyak mentah Brent jatuh AS$ 2.38 atau 3.6 peratus kepada AS$ 64.49 setong manakala West Texas Intermediate (WTI) jatuh AS$ 3.09 kepada AS$ 53.50 setong, kerugian sebanyak 5.5 peratus.

Brent didagangkan AS$ 64.37 setong, terendah sejak 8 Mac. WTI mencecah AS$ 53.41 setong, paling lemah sejak 14 Februari.

Niaga hadapan Brent merekodkan penurunan sebanyak 11 peratus dan 16 peratus bagi WTI, kejatuhan terbesar bulanan sejak bulan November lalu.

Trump berikrar semalam untuk menaikkan tarif kecuali jika Mexico menghentikan kemasukan pendatang asing secara haram ke Amerika Syarikat.

Pelan itu akan mengenakan tarif sebanyak 5 peratus ke atas import Mexico bermula pada 10 Jun dan meningkat secara bulanan sehingga 25 peratus pada 1 Oktober.

Tindakan Trump itu boleh menjejaskan perdagangan tenaga rentas sempadan yang menguntungkan.

“Lojo-loji penapis Amerika Syarikat mengimport kira-kira 680,000 tong sehari minyak mentah Mexico. Tarif 5 peratus itu meningkatkan tambahan AS$ 2 juta kepada kos pembelian harian mereka,” kata penganalisis PVM.

Amerika Syarikat juga mengeksport lebih banyak bahan api ke Mexico daripada negara lain, menurut Jabatan Tenaga Amerika Syarikat.

Setakat ini, Mexico tidak mengatakan sama ada ia akan bertindak balas tetapi Presiden Mexico, Andres Manuel Lopez Obrador menggesa Trump untuk menarik semula ancaman tarif itu. – MalaysiaGazette