Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR – Pelantikan Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Telekom Malaysia Bhd (TM) hanya akan dibuat selepas menerima arahan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Kata Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, sehingga kini tiada perubahan pemegang kedua-dua jawatan tersebut.

“Setakat ini, masih lagi orang sama (yang memegang jawatan berkenaan). Kalau ada perubahan, perlu ada arahan atau surat daripada perdana menteri.

“Saya terima arahan daripada Perdana Menteri dan bukan daripada sumber kedua atau ketiga,” katanya pada sidang media di Pulau Pinang hari ini.

Tanpa mengulas lanjut Guan Eng meminta pemberita mendapatkan penjelasan daripada Menteri Komunikasi dan Multimedia (Gobind Singh).

Semalam, The Edge Financial Daily melaporkan bahawa pengerusi TM, Rosli Man enggan melantik Imri Mokhtar sebagai CEO.

Laporan itu mendakwa Rosli berkeras meskipun nama Imri disarankan oleh lembaga pengarah TM dan mendapat sokongan daripada Menteri Kewangan Diperbadankan serta perdana menteri.

Untuk rekod, Imri kini menjalankan tugas-tugas CEO sebagai pemangku.

Dalam pengumuman kepada Bursa Malaysia, TM mengesahkan bahawa nama Imri disarankan oleh lembaga pengarah dan mendapat sokongan Menteri Kewangan Diperbadankan, namun, jelas TM, Pejabat Perdana Menteri mengarahkan pelantikan bagi jawatan itu ditangguhkan.

Bekas CEO TM, Shazalli Ramly, yang juga merupakan bekas penasihat media Najib Razak, meletak jawatan Jun tahun lalu, ekoran itu tiada lagi Ketua Eksekutif tetap. – MalaysiaGazette