Imri Mokhtar

KUALA LUMPUR – Telekom Malaysia Berhad (TM) telah menangguhkan pelantikan ketua pegawai eksekutif atas permintaan Pejabat Perdana Menteri (PMO)

Dalam makluman yang difailkan kepada bursa, Pengerusi TM, Rosli Man telah memaklumkan kepada lembaga pengarah berhubung permintaan PMO itu awal Mac lalu.

“Kami percaya bahawa ia adalah tadbir urus korporat yang baik untuk melibatkan pihak berkepentingan utama, termasuk Pejabat Perdana Menteri,” kata TM.

Tambahnya, TM telah mencadangkan pelantikan pemangku CEO, Imri Mokhtar sebagai Pengarah Urusan dan CEO kepada Kementerian Kewangan pada Novermber tahun lalu.

“MoF kemudiannya melalui surat bertarikh 28 Februarii 2019 yang dialamatkan kepada Imri dan disalin kepada pengerusi dan setiausaha syarikat, bersetuju untuk melantik Imri sebagai MD / CEO / pengarah eksekutif TM, tertakluk kepada pelaksanaan dokumen yang betul dan kelulusan terma dan keadaan.

“Pengerusi memaklumkan kepada lembaga pengarah pada awal Mac lalu bahawa beliau menerima permintaan daripada Pejabat Perdana Menteri untuk menangguhkan pelantikan itu, “kata TM dalam pengumuman petang ini.

TM tidak mempunyai CEO tetap sejak setahun lalu menyebabkan para pemegang sahamnya telah mengemukakan soalan tentang kelewatan pelantikan itu semasa mesyuarat agung tahunan syarikat itu baru-baru ini.

Pengerusi TM dikatakan memaklumkan tiada ada keputusan berhubung pelantikan itu oleh pemegang-pemegang kepentingannya.

Tidak ada sidang akhbar selepas mesyuarat tersebut.

TM adalah syarikat milik kerajaan dengan 26 peratus kepentingannya dikuasai Khazanah Nasional Berhad dan Kementerian Kewangan adalah kepentingan khas dalam entiti tersebut. – MalaysiaGazette