NGO GMPN bersama 10 NGO membuat laporan polis mendesak tindakan ke atas pemfitnah menteri agama diaibkan dengan kavadi dihukum segera di hadapan IPD Dang Wangi pagi tadi.

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Gerakan Mertabat Pejuang Negara Malaysia atau GMPN) hari ini membuat laporan polis mengenai penularan berita fitnah mengenai Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa.

Presidennya, Mejar Bersara Razali Zakaria berkata, laporan polis dibuat sebagai tindakan mendesak polis bertindak segera ke atas pengguna media sosial Facebook bernama Shamsul Faisal Abdul Wahab.

Katanya, individu itu bertindak kurang beradab apabila memuat naik sebuah gambar yang berbaur mengaibkan pemimpin Pakatan Harapan berstatus menteri iaitu Mujahid.

“Saya menyedari posting Facebook itu semasa berada di Pusat Membeli Belah Sogo,apabila satu gambar dan penyataan jahat serta fitnah terhadap Menteri Agama meletakkan gambar Menteri itu mendukung Kavadi dengan penyataan ‘perayaan Thaipusam 8 Februari 2020’.

“Ia seolah menyindir harus hukumnya menggambarkan PH-Amanah menyertai perayaan Thaipusam selain menulis kenyataan berbunyi, Pluralisme dalam agama Islam Rambutan Alamin.

“Tindakan pemilik FB itu adalah berniat jahat dan cubaan untukmenghasut perasaan netizen untuk membenci menteri agama serta kerajaan Malaysia dengan bertujuan mecetuskan kemarahan dan ketegangan kaum,” keluh beliau kepada pemberita dalam kenyataan laporan polis yang dibacakan di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi pagi tadi.

Beliau bersama 10 NGO telah tampil membuat laporan polis mendesak tindakan serius ke atas pengguna Facebook yang memfitnah menteri agama itu sekitar 10.43 pagi tadi.

Menurutnya, perkara berkenaan tidak boleh dibiarkan begitu sahaja untuk berterusan selepas ini dan memerlukan tindakan tegas ke atas penyebar fitnah tersebut.

“Kami mahu Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan PDRM menyiasat segera tanpa prejudis serta ambil tindakan sewajarnya ke atas pelaku menyebarkan kenyataan fitnah itu dibawah Seksyen 499/500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233A Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Tindakan tegas akan memastikan kita menghindari perbuatan tidak bertanggungjawab dan salah guna media sosial oleh individu tertentu untuk menjatuhkan pemimpin dan orang awam,” ujarnya lagi.- MalaysiaGazette