62 warga asing tanpa dokumen dari 12 negara serantau tumpas dalam srebuan Op Sepadu Warga Asing oleh POlis KL dan Imigresen semalam.

KUALA LUMPUR – Seramai 62 warga asing termasuk 13 warganegara Afrika dicekup dalam Operasi Bersepadu Warga Asing di ibu negara semalam.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Komisioner Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, operasi itu diadakan di sekitar kawasan Changkat Bukit Bintang, Endah Promenade Sri Petaling, Apartment Connaught, Cheras, Jalan Danau Niaga, Setapak, Metro Prima Kepong dan Kepong Baru.

Katanya, operasi itu dilaksanakan dengan disertai 177 pegawai kanan Polis Kontinjen KL dengan bantuan lima angota dan pegawai kanan Imigresen.

“Dalam serbuan pada 31 Mei jam 9.30 malam sehingga 1 Jun 2019, jam 7.00 pagi seramai 136 orang warga asing diperiksa pihak berkuasa keselamatan.

“Daripada mereka seramai 62 warga asing dari 12 negara telah ditangkap dan daripada jumlah tersebut 13 orang merupakan warga Afrika.

“14 orang warga Bangladesh, 12 orang Myanmar termasuk seorang wanita, seorang lelaki Vietnam, empat Lelaki Pakistan, warga India (9 orang),seorang lelaki Nepal dan enam warga Thailand termasuk seorang satu lelaki,” katanya dalam kenyataan di sini.

Menurut beliau tindakan diambil mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) iaitu masuk dan tinggal di Malaysia tanpa pas atau permit yang sah dan akta-akta yang berkaitan.

Tegas beliau, kesemua mereka yang ditahan dalam operasi tersebut dibawa ke Lokap Cheras dan Lokap IPD Dang Wangi untuk tindakan lanjut mengikut  Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan.

“Polis Kuala Lumpur memandang serius isu kebanjiran warga asing terutamanya warga Afrika yang menyumbang ke arah kejadian jenayah berlaku di negara ini.

“Operasi seumpama ini akan diteruskan bagi membanteras permasalahan kebanjiran warga asing sekaligus berusaha menurunkan kadar jenayah yang disebabkan oleh warga asing.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat bolehlah menyalurkannya dengan menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2146 9999 atau mana-mana balai polis yang berhampiran,” ujarnya lagi.- MalaysiaGazette