KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak menyindir Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad berhubung komennya ketika beliau berkunjung ke kompleks beli belah di Shah Alam, semalam.

Menerusi Facebook, Ahli Parlimen Pekan itu berkata, beliau baru tahu ibu negeri Selangor itu kini milik Khalid.

“Baru tahu Shah Alam milik Menteri Harapan Coin. Orang luar tak boleh kunjung.

“Lain kali letak papan tanda larangan kunjung, ya,” tulis beliau menerusi posting terbaru yang turut disertakan ciapan twitter Ahli Parlimen Shah Alam berkenaan.

Terdahulu, Khalid menerusi ciapan di laman sosial tersebut berkata, “Dengar khabar ada yg ke Kompleks PKNS Shah Alam cari saya. Hmm datang sekali seumur hidup buat riuh sekampung.

“Kat Pekan takde shopping mall ke sehingga mai shopping raya di Shah Alam? MP Pekan tak buat kerja naa. Malu apa boss hang. Bandar sendiri tak terjaga sibuk ke Shah Alam,” tulis Khalid.

Semalam, Najib dikerumuni orang ramai ketika beliau berkunjung ke kompleks berkenaan.

Menerusi statusnya di Facebook, Najib mengusik Khalid apabila menulis di posting, “Biasanya saya minta orang tag saya lepas bergambar. Ni tolong saya tag Khalid Samad sekali ok?

“Tadi saya masuk kawasan dia nak berjumpa. Tapi tak nampak pulak Khalid kat Kompleks PKNS Shah Alam. Tauke Harapan Coin sibuk kot,” katanya.

Najib turut mendapat pujian warganet apabila beliau secara ‘senyap-senyap’ menyampaikan sumbangan kepada seorang lelaki orang kelainan upaya (OKU).

Najib yang dikerumuni orang ramai sempat menyeluk saku dan kemudiannya menyampaikan wang di tangan lelaki OKU berkenaan.

Tindak tanduk beliau disedari seorang pengguna laman sosial yang merakam video tersebut dan kemudian menulis pada ruangan posting menyeru rakan-rakan Facebooknya memerhatikan perilaku bossku pada minit ke-23.

Status tersebut kemudiannya mendapat banyak komen daripada netizen dengan ada yang kagum melihat kemuliaan hati Najib itu. – MalaysiaGazette

https://malaysiagazette.com/blog/2019/06/02/beri-sumbangan-senyap-senyap-najib-dapat-pujian-netizen/