Foto hiasan... Para peserta yang hadir pada Pameran GRADUAN Aspire 2018 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 21 JULAI 2018.

KUALA LUMPUR – Gaji permulaan untuk siswa yang baru melangkah masuk ke alam pekerjaan pada masa ini tidak banyak berbeza dengan kadar 20 tahun lalu.

Lebih menyedihkan, jika mengambil kira faktor inflasi, maka gaji permulaan pada masa ini adalah lebih teruk berbanding 20 tahun lalu.

Presiden Dewan Perniagaan dan Industri Malaysia, Tan Sri Ter Leong Yap berkata, untuk menambah baik gaji untuk siswa, ia memerlukan transformasi dan rombakan ekonomi dan pendidikan secara besar-besaran.

Beliau dipetik Sinchew Daily sebagai berkata, ada pihak berpendapat gaji minimum dapat menyelesaikan masalah, tetapi ia sebenarnya hanya melibatkan sebahagian pekerja sahaja.

Leong Yap justeru berharap orang muda dapat meningkatkan produktiviti, selain terus menambah ilmu.

Katanya, budaya kerja yang baik dari Jepun dan China termasuk ciri ketekunan mereka harus dipelajari pekerja Malaysia.

Sementara itu, menurut Leong Yap, era 5G akan membawa perniagaan berdepan satu lagi perubahan besar.

“Sektor tradisional termasuk pertanian harus mengambil perhatian dan menggunakan 5G untuk meneroka pasaran.

“5G diibaratkan sebagai enjin untuk ekonomi digital, ia merupakan satu trend yang tidak dapat dielakkan,” katanya. – MalaysiaGazette