Perodua Aruz

KUALA LUMPUR- Perodua berjaya mempercepatkan penghantaran SUV tujuh tempat duduknya, Aruz kepada 110 unit sehari secara purata berbanding 100 sebelum ini.

Setakat ini, kira-kira lebih separuh daripada 25,000 tempahan telah pun dihantar kepada pelanggan.

Menurut Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Zainal Abidin Ahmad, pasukannya sedang bertungkus-lumus untuk memaksimumkan pengeluaran dan penghantaran bagi memendekkan masa menunggu

“Kami telah berjaya mempercepatkan penghantaran Perodua Aruz kepada 110 unit sehari secara purata daripada 100 sebelumnya. Kami akan terus bekerjasama rapat dengan para pembekal kami untuk terus mengurangkan jurang antara tempahan dan penghantaran.

“Perodua Aruz telah mendapat sambutan yang amat menggalakkan. Kami mengucapkan terima kasih kepada semua rakyat Malaysia kerana menjadikan Perodua Aruz antara SUV yang terlaris di negara ini.

“Kepada pelanggan kami yang dihargai, kami dengan rendah hati dan tulus ikhlas memohon maaf andai kenderaan baharu anda tidak berjaya dihantar menjelang tibanya Hari Raya,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kecekapan bahan api Perodua Aruz 15.6 km/liter yang terbaik dalam segmennya membolehkan ia diiktiraf sebagai Kenderaan Cekap Tenaga (EEV).

Dengan enam beg udara dan Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC), ditambah dengan Advanced Safety Assist 2.0 yang terdapat pada varian AV, Perodua Aruz diperakui dengan penarafan keselamatan maksimum ASEAN NCAP lima-bintang.

Mengikut angka rasmi Persatuan Automotif Malaysia (MAA), Perodua telah menjual sebanyak 22,943 kenderaan sepanjang Mei 2019.

Ini menjadikan jumlah jualan bagi lima bulan pertama adalah 105,743 unit, melonjak 8.5 peratus berbanding dengan jualan 97,487 unit dari Januari hingga akhir-Mei 2018.- MalaysiaGazette