Datuk Mohd Khairuddin Aman Razali
Datuk Mohd Khairuddin Aman Razali

KUALA LUMPUR – Agihan zakat tidak wajar dijadikan sebagai agenda politik oleh orang bukan Islam, kata Datuk Dr. Mohd. Khairudin Aman Razali.

Ia kerana zakat merupakan satu perkara kewajipan daripada rukun Islam yang lima dan mempunyai kaitan dengan hukum walak kepimpinan bukan Islam dalam Islam, katanya yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus.

“Adakah program agihan itu bertujuan menyampaikan hak kepada asnaf zakat semata-mata atau ia juga menjadi satu program politik untuk mempromosi kepimpinan bukan Islam kepada orang Islam.

“Sekiranya ia menjadi agenda politik maka tidak wajar ianya berlaku menggunakan harta ibadah seperti zakat oleh bukan Islam yang bukan ahli ibadah,” kata pemimpin Pas Pusat dalam satu kenyataan kepada media.

Mohd Khairuddin turut mempersoalkan sama ada pihak berkuasa seperti lembaga zakat berada dalam keadaan sangat takut dan gerun kepada kepimpinan bukan Islam sehingga mereka terpaksa menyerahkan urusan agihan zakat kepada pemimpin bukan Islam.

Ujarnya, adalah wajar dalam isu agihan zakat ia hendaklah diserahkan sendiri oleh pihak berkenaan yang diberi tanggungjawab oleh umat Islam seperti pusat zakat terus kepada asnaf tanpa perlu menerusi pemimpin politik bukan Islam.

Katanya, sensitiviti masyarakat Islam perlu juga diambil kira dalam perkara tersebut.

Dalam pada masa sama jelas beliau, perlu disedari keindahan sistem zakat Islam dimana orang bukan Islam juga boleh mendapat sebahagian daripada agihan zakat apabila mencukuli syarat sebagaimana dibincang oleh para alim ulama Islam.

Mohd Khairuddin dipercayai membuat hantaran itu sebagai mengulas pihak berkenaan yang seolah memandang sebelah mata berhubung keghairahan beberapa ahli politik bukan beragama Islam mengagihkan wang zakat kepada golongan asnaf.- MalaysiaGazette