Shahril Adnan
Shahir Adnan

KUALA LUMPUR – Pelantikan Latheefa Koya sebagai Pesuruhjaya baharu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dianggap agak janggal.

Ini kerana peguam itu merupakan seorang ahli politik Pakatan Harapan daripada Parti Keadilan Rakyat, PKR.

“Persoalannya sekarang,
bagaimanakah SPRM akan dilihat sebagai sebuah badan bebas dan adil jika ketuanya merupakan seorang ahli politik?

Adakah pegawai-pegawai SPRM sedia ada tidak dapat memikul tanggungjawab sebagai Pesuruhjaya baharu?” soal Ketua Pemuda Parti IKATAN Bangsa Malaysia, Shahir Adnan.

Dewan Pemuda IKATAN Malaysia dalam satu kenyataan berpendapat bahawa ramai lagi pegawai yang berkelayakan yang sudah bekerja dari bawah sewaktu Badan Pencegah
Rasuah ditubuhkan sehinggalah ditukar kepada SPRM.

Menurutnya, antara tokoh yang dianggap berkelayakan ialah Datuk Seri Azam Baki, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, yang terbukti telah bekerja untuk negara selama lebih 20 tahun.

“Dewan Pemuda IKATAN Malaysia amat terkejut bahawa perlantikan Latheefa Koya telah berkuatkuasa mulai 1 Jun 2019, berdasarkan kenyataan akhbar Pejabat Perdana Menteri bertarikh 4 Jun 2019.

“Pelantikan ini dilihat amat terburu-buru kerana tempoh Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Mohd Shukri dipendekkan,” ujarnya.

Justeru, pihaknya menggesa kerajaan mematuhi janji manifesto yang ingin membawa pembaharuan kepada sistem negara di mana perlantikan Pesuruhjaya SPRM haruslah dibawa ke Parlimen, bukannya melantik seorang ahli politik.

Ini merupakan langkah ke belakang, di mana keadaan sebegini tidak berlaku di zaman pentadbiran Datuk Seri Najib Razak, katanya.- MalaysiaGazette