Winter Paige. foto Agensi

CALIFORNIA – Seorang remaja berjaya diselamatkan selepas diserang seekor jerung hingga menyebabkan kecederaan parah pada kaki dan tangannya.

Mangsa, Paige Winter, bernasih baik selepas bapanya bertindak berani melepaskan tumbukan sebanyak lima kali pada jerung sebelum haiwan itu melepaskan remaja yang berusia 17 tahun itu.

Akibat gigitan jerung, mangsa kehilangan beberapa jari dan kaki hingga paras lutut.

Pihak hospital berkata, mangsa dalam keadaan baik.

Paige diserang di Pantai Atlantik, Carolina Utara pada Ahad lalu.

Beberapa saksi yang menyaksikan insiden ngeri itu menjerit apabila melihat Paige merangkak keluar dari dalam air.

“Walaupun keadaan malang ini, Paige menasihatkan agar orang ramai menghormati kehidupan marin dan haiwan yang hidup di dalam air.

“Dia ingin orang ramai terus menghormati jerung di alam sekitar dan keselamatan mereka,” kata satu kenyataan daripada keluarga Paige.

sharkMalah, keluarganya bersyukur atas sokongan masyarakat dan ayahnya yang berani yang menyelamatkan nyawa Paige.

Nenek mangsa, Janet Winter melalui Facebooknya berkata, anak lelaki beliau telah menumbuk jerung sebanyak lima kali sebelum ia melepaskan Paige.

“Pembedahan dilakukan ke atas Paige dan sebelah kakinya tidak dapat diselamatkan.

“Dia memerlukan transplan tangan pada masa depan, tolong doakan Paige,” kata Janet.

Jabatan Kebakaran Pantai Atlantic menggambarkan kecederaannya kepada media tempatan sebagai “luka yang mendalam pada kakinya, pinggul dan tangan”.

Setakat ini jenis jerung yang menyerang mangsa belum dikenal pasti.

Bulan lalu, satu kumpulan besar jerung putih dilihat sejauh 20 batu (32 km) di pantai utara dan selatan Carolina, termasuk enam jerung terbesar yang dikesan oleh saintis, lapor CBS News.

Jerung-jerung itu berhijrah ke utara dari perairan Florida yang hangat pada musim panas setiap tahun.

Florida mempunyai bilangan serangan jerung tertinggi tahun lalu iaitu sebanyak 16 kes. North Carolina, Hawaii dan South Carolina masing-masing merekodkan tiga serangan. – MalaysiaGazette