KUALA LUMPUR – Belum reda ‘kekecohan’ dengan pelantikan Latheefa Beebi Koya sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kini timbul desas-desus seorang penjawat awam kanan meletak jawatan.

Individu tersebut adalah Ketua Pengarah Unit Tranformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA), S Letchumanan berikutan konflik yang dikatakan melanda unit diterajui Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorty.

Letchumanan dianggap antara yang berkaliber tinggi dalam membantu Waytha menerajui unit tersebut bertindak meletak jawatan berkuatkuasa hari ini.

Sumber memberitahu MalaysiaGazette, Letchumanan bertindak demikian kerana tidak tahan wujudnya ‘tangan ghaib’ politik dalam unit tersebut sehingga merencatkan operasi MITRA selama ini.

Malah sumber yang enggan dikenali itu mendakwa, Letchumanan juga menghadapi tekanan sehingga menyebabkan beliau terpaksa meletakan jawatan dalam keadaan ‘tergesa-gesa’.

Dakwa sumber itu lagi, Letchumanan juga menghadapi tekanan ‘konco-konco’ yang menguasai kementerian itu supaya beliau meletak jawatan dengan kadar segera.

“Ada juga dakwaan mengatakan bahawa berkemungkinan Wayta akan melantik seseorang yang bukan dalam kalangan penjawat awam untuk menggantikan Letchumanan selepas ini tetapi sejauh mana ianya benar kita tidak pasti lagi.

“Jika berita ini benar, ini merupakan kali pertama perkara seumpama ini berlaku apatah lagi melibatkan seorang penjawat awam kanan lagi berpengalaman luas seperti ini.

“Letchumanan sangat dihormati dalam kalangan penjawat awam khasnya kerana beliau tidak akan sesekali tunduk dengan kehendak atau tekanan khasnya dalam kalangan politik, ini juga adalah kemungkinan mengapa peletakan jawatan ini,” dakwanya lagi.

Awal tahun ini juga, seorang penjawat awam berpangkat pengarah telah dipecat oleh pejabat Waytha malah ada juga yang tidak berjawatan di Jabatan Perdana Menteri menghadiri mesyuarat berkaitan Mitra dengan ‘selamba’ sahaja.

Sebelum ini, Letchumanan juga pernah mendedahkan peruntukan berjuta-juta ringgit yang disalurkan kerajaan kepada ratusan badan bukan kerajaan (NGO) bagi membantu masyarakat India dikesan disalah guna, termasuk untuk kepentingan peribadi.

Pemeriksaan Jabatan Audit Negara (JAN) menunjukkan dana itu diperuntukkan melalui Pembangunan Sosioekonomi Komuniti India (SEDIC) yang ditubuhkan bawah kerajaan Barisan Nasional (BN) dulu bagi meningkatkan pendapatan golongan berpendapatan rendah.

Waytha sebentar tadi juga telah mengesahkan berita peletakan jawatan itu sambil menegaskan beliau menerima keputusan Letchumanan yang dikatakan meninggalkan MITRA kerana atas sebab-sebab peribadi.

“Beliau telah membuat keputusan itu atas sebab-sebab peribadi dan juga jangka panjang karier beliau. Saya hormati keputusan itu. Letchumanan telah banyak membantu saya dalam merealisasikan agenda serta aspirasi saya serta PH selama ini dan saya ingin mengucapkan penghargaan kepadanya.

“Beliau seorang penjawat awam yang sangat berdedikasi tinggi, ikhlas dan rajin selama saya kenalinya. Terima kasih yang tidak terhingga kepadanya,” kata Waytha. –MalaysiaGazette