Abdul Rahman Aziz ,40 dari Temerloh Pahang menunggu seawal 7.30 pagi lagi untuk beraya di Rumah Terbuka Aidilfitri Perdana Menteri dan Jemaah Menteri di Kompleks Seri Perdana Putrajaya pagi ini

PUTRAJAYA- Kompleks Seri Perdana di sini mula sesak dengan kehadiran pengunjung sempena Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Perdana Menteri dan Ahli Jemaah Menteri bermula 10 pagi ini sehingga 4.30 petang nanti.

Menariknya, orang ramai sudah mula beratur panjang, malah sudah tiba seawal jam 7 pagi tadi bagi mengelakan kesesakan selain mendapatkan tempat meletak kenderaan.

Masing-masing dengan pelbagai latarbelakang bangsa serta agama kelihatan  teruja bukan sahaja untuk menikmati juadah hari raya malah tidak mahu melepaskan peluang bertemu secara dekat pimpinan kerajaan khasnya Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Siti Hasmah Mohd Ali.

Ahli Jemaah Menteri dijangka tiba di Seri Perdana pada jam 10 pagi, manakala Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali pada jam 12 tengah hari, selepas menghadiri majlis di Istana Negara.

Sebaik tiba, Perdana Menteri dijadual bersalaman dengan tetamu di aras bawah Dewan Bankuet, diikuti Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Ahli Jemaah Menteri.

Pada jam 2 petang kelak, Perdana Menteri dijangka ke Laman Sari iaitu tempat jamuan bagi pengunjung untuk beramah mesra dengan mereka, selain akan turut memberikan ucapan.

Terdahulu, seawal 8 pagi rata-rata penjawat awam yang bakal bertugas sebentar lagi di Rumah Terbuka Perdana Menteri ini telah sempat menjamu selera terlebih awal.

Sebanyak 11 syarikat katering ditugaskan untuk menyediakan juadah Aidilfitri bagi majlis ini, antaranya makanan popular pada hari raya seperti lemang, ketupat dan rendang. -MalaysiaGazette