Fotografi bersama penyanyi, Dayang Ku Intan di Hotel Pavillion, Kuala Lumpur. foto NOOREEZA HASHIM, 25 MEI 2019.

KUALA LUMPUR – Sembilan bulan berkongsi sebelah buah pinggang dengan suami merupakan tanda cinta dan kasih sayang yang tidak berbelah bahagi penyanyi terkenal, Dayangku Intan terhadap suaminya, Rosman Yalil.

Bagi penyanyi yang pernah masyhur dengan lagu Semakin Rindu Semakin Sayang itu, tiada apa yang lebih membahagiakannya selain daripada melihat suami yang dinikahi 34 tahun lalu itu dapat kembali menjalani kehidupan seperti orang lain.

Lebih bermakna buat Da­yangku Intan ialah, kesanggupannya menderma buah pinggang kanannya itu juga sebagai memenuhi janji untuk susah senang bersama yang sering dilafazkan kepada suaminya.

Dayangku Intan bersyukur dapat kembali melakukan aktiviti harian secara normal.
“Alhamdullah, macam biasa sudah enam bulan dan tidak sakit tetapi kita kena jaga pemakanan dan itu biasalah.

“Suami pun sihat dan saya sarankan siapa yang memerlukan pembedahan buah pinggang agar dipercepatkan proses itu.

“Bila buah pinggang sudah masuk kepada suami, dia adalah kepunyaan saya,” katanya tersenyum.

Pada hujung September lalu, Dayangku Intan selamat menjalani pembedahan mendermakan buah pinggang kepada suaminya, Rosman Yahil, 56, di sebuah pusat perubatan di sini.

Sebelum itu dia mendedahkan mahu mendermakan buah pinggangnya kepada suami yang mengalami masalah kegagalan organ terbabit akibat kencing tikus.

Rosman yang menghidap penyakit kencing manis dan darah tinggi terkawal terkena kencing tikus, namun jangkitan merebak ke bahagian buah pinggang hingga ia gagal berfungsi sejak tiga bulan lalu.

Keadaan kesihatan suaminya yang merosot secara mendadak mendorong Intan untuk melakukan pemeriksaan bagi mendermakan satu daripada buah pinggangnya. – MalaysiaGazette