Mohamed Azmin Ali

PUTRAJAYA – Menteri Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengakui dirinya tidak tahu menahu tentang pelantikan Latheefa Koya sebagai Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Kata Timbalan Presiden PKR itu, ketika keputusan berhubung pelantikan itu mungkin telah dilakukan ketika beliau sedang mengerjakan umrah.

“Saya benar-benar tidak tahu kerana ketika itu sedang mengerjakan umrah malah saya hanya ketahui tentang lantikan ini melalui media sahaja,” katanya kepada wartawan pada Rumah Terbuka Seri Perdana sebentar tadi.

Bagaimanapun kata Azmin lagi, beliau percaya pelantikan ini bukan berdasarkan politik sebaliknya ‘merit’ serta aktiviti-aktiviti berunsur aktivis yang dilakukan oleh Latheefa selama bertahun ini.

“Saya rasa ini bukan lantikan politik tetapi berdasarkan merit, kerja-kerja yang telah dilakukan oleh beliau terutamanya dalam bidang perundangan selama ini,” katanya enggan mengulas panjang. -MalaysiaGazette