Salah seekor dari tiga ekor gajah yang ditemui mati berdekatan kebun pisang Sri Timur Kahang, Johor. foto Facebook

KUALA LUMPUR – Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Dr Xavier Jayakumar berkata ketiga-tiga ekor gajah yang ditemukan mati di Kampung Sri Timur 3, Kluang, Johor semalam, berpunca daripada termakan racun.

Beliau berkata, keputusan itu diperoleh hasil bedah siasat awal yang telah dijalankan ke atas haiwan tersebut bagi mengenal pasti punca kematian dan kemungkinan berlakunya unsur-unsur jenayah.

“Namun, jenis racun yang dimakan masih belum diketahui kerana sampel hati dan ginjal ketiga-tiga ekor gajah perlu dihantar ke Jabatan Kimia untuk tujuan analisis terlebih dahulu.

“Keputusan analisis toksikologi bagi mengenal pasti jenis racun yang mengakibatkan tiga ekor gajah betina yang mati itu akan diperoleh dalam tempoh masa tiga bulan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Ketua Polis Daerah Kluang ACP Mohd Abduh Ismail berkata, penemuan gajah mati pada 9.30 pagi itu adalah susulan maklumat orang awam yang ternampak tiga ekor gajah itu terbaring bergelimpangan di kampung berkenaan.

Xavier dalam pada itu berkata, siasatan Jabatan Perhilitan di sekeliling kawasan juga mendapati, sistem pagar elektrik persendirian yang dikendalikan sendiri oleh penduduk kampung di kawasan berkenaan, tidak berfungsi menyebabkan gajah-gajah menceroboh ke kawasan berkenaan.

“Berdasarkan kepada saiz tapak kaki, gajah yang mati dianggarkan berumur lebih kurang 18, 20 dan 22 tahun serta dipercayai gajah daripada pecahan kumpulan gajah (ID Tenggara) dari Hutan Simpan Lenggor, Johor,” katanya.

Dalam pada itu, Xavier berkata Jabatan Perhilitan telah mengadakan kerjasama dengan Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) untuk mensyaratkan pemasangan pagar elektrik di kawasan perladangan kelapa sawit berhampiran sempadan kawasan hutan simpan bagi mengelakkan kawasan perladangan atau perkampungan diganggu oleh gajah liar.

“Pihak kementerian menyeru semua pihak supaya dapat menyalurkan maklumat kepada Jabatan Perhilitan dengan menghubungi talian 1-800-88-5151 jika mempunyai sebarang maklumat mengenai kes kematian tiga ekor gajah tersebut,” tambahnya.

Orang ramai juga diminta supaya tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kes kematian gajah tersebut sehingga proses siasatan selesai, jelasnya. – MalaysiaGazette