Lynas Malaysia wajar dib.eri peluang untuk mempertahankan rekod pengawalseliaan serta persekitarannya secara terbuka sejak ia mula beroperasi pada 2012. - MABC
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kerajaan Australia bertegas tidak akan sesekali berganjak daripada pendirian mereka menerima apa-apa sisa bahan radioaktif dari Malaysia ke negara itu.

Malah cadangan Malaysia melalui Menteri  Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin untuk mengadakan perbincangan berhubung perkara itu juga tidak akan sesekali mengubah pendirian negara berkenaan.

Australia juga memberi gambaran seolah-olah pertemuan dengan Malaysia hanya ‘membuang masa’ sahaja berikutan pendirian negara itu amat jelas.

Menteri Petroleum dan Perlombongan Australia Barat, Bill Johnston mengulangi komitmen kerajaannya tidak akan sesekali berganjak daripada pendirian tidak mahu menerima sisa  kilang memproses nadir bumi Lynas Corp.

Bill Johston

Australia Financial dalam laporan berkata,  Bill Johnshon memberitahu media tempatan di negara itu, Malaysia mahu mengadakan pertemuan berhubung perkara itu dan pihaknya menerima pelawaan itu namun pendirian akan tetap sama walaupun selepas perbincangan tersebut.

“Pendirian kita amat jelas, kita tidak akan menerima apa-apa sisa bahan radioaktif di bawa masuk ke negara ini, itu sememangnya pendirian kita.

“Mereka (Malaysia) mahu adakan mesyuarat, kita terima sahaja tetapi pendirian kita masih sama sebelum dan selepas ini, kita tidak akan terima. Itu terpulang kepada mereka untuk adakan mesyuarat ini.

“Kita berpendirian untuk tidak sesekali mengambil sisa yang diproses dari mana-mana pun di dunia ini. Kita merupakan pengeksport bahan mentah secara besar-besaran dan perlu diingat seandainya ianya diproses di negara lain, mereka yang perlu bertanggungjawab di sana bukan sini,” tegasnya.

Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim akan melancarkan satu "pelan tiada plastik sekali guna" pada 17 Oktober dan intipati program itu termasuk pelaksanaan polisi tiada straw mulai tahun depan.
Yeo Bee Yin

Sebelum ini, Bee Yin mendedahkan akan mengadakan perbincangan dengan rakan sejawatnya berhubung operasi Lynas Corp dan pengurusan sisa bahan radioaktif pada 20 Jun ini.

Ini berikutan pengumuman Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir memberi lampu ‘hijau’ untuk Lynas Corp terus beroperasi di negara ini.

Pengumuman Perdana Menteri itu menamatkan ketidakpastian yang menyelubungi masa depan kilang Lynas bernilai AS$800 juta (RM3.35 bilion) di Gebeng, Pahang selepas pembaharuan lesen operasinya digantung sementara.

Bee Yin juga dari awal sudah melakukan gesaan supaya kerajaan Australia Barat (WA) menerima kira-kira 450,000 tan sisa daripada pemprosesan nadir bumi yang disimpan di negara ini.

Akhir tahun lalu, MESTECC mengenakan dua syarat bagi pembaharuan lesen kilang Lynas Advance Materials Plant (LAMP), termasuk menghantar sisa bahan radioaktif keluar daripada negara ini.

LAMP juga perlu memastikan sisa buangan Water Leached Purification Residue (WLP) mengandungi bahan radioaktif dihantar keluar dari Malaysia.

Bagi pelupusan sisa buangan berjadual Neutralization Underflow Residue (NUF), LAMP perlu mengemukakan pelan tindakan bagi pelupusan buangan terkumpul sebelum dipertimbangkan bagi permohonan kelulusan di bawah Peraturan 9 (6) dan 9 (7), Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005.) –MalaysiaGazette