Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Zuraida Kamaruddin meluangkan masa beramah mesra dengan sebahagian tetamu yang hadir Majlis Rumah Terbuka di kediamannya yang terletak di Ampang, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 06 JUN 2019

AMPANG – Kerja-kerja merobohkan dua unit kondominium Highland Towers yang terbiar sejak 25 tahun lalu akan dilaksanakan pada bila-bila masa dari sekarang.

Bagaimanapun, kerajaan masih perlu berbincang dengan 15 penghuni asal kondominium terbiar itu sebelum kerja-kerja perobohan dimuktamadkan.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata daripada keseluruhan 130 pemilik asal unit dua blok itu 125 penghuni asal sudah memberi sokongan untuk merobohkan premis.

‘Cuma 15 orang lagi diwakili peguam untuk perbincangan tetapi hasrat saya bersemuka dengan pemilik asal itu tidak kesampaian kerana mereka mungkin berada di luar negara dan tak pasti sama ada peguam berdepan masalah menemukan saya dengan anak guam mereka.

“Tetapi mengikut peraturan undang-undang yang ada kita boleh melaksanakan kerja meroboh dua unit Highland Towers yang seram itu tanpa perlu berjumpa dengan mereka sementara perbincangan berjalan.

“Namun Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) akan menulis surat notis kepada kesemua mereka sebelum melaksanakan kerja perobohan,” katanya ketika ditemui di Kediaman beliau sempena Rumah Terbuka Aidilfitri 2019 di Kampung Melayu Ampang di sini.

Menurut Zuraida, 15 penghuni asal dua kondominium itu menuntut pampasan wang dari kerajaan memandangkan mereka tidak tampil menerima pampasan awal yang telah dikeluarkan oleh bank bertanggungjawab menguruskan isu tersebut selepas tragedi 11 Disember 1993.

“Kalau saya dapat bertemu dengan penghuni asal berkenaan saya pasti akan rayu pada mereka mengatakan ini demi kepentingan negara dan awam.

“Tempat itu mengugat ketenteraman orang awam di situ dengan suasana kotor yang tidak boleh dihuni lagi dan akan meminta mereka berlapang dada tampil segera memberi kebenaran untuk saya merobohkan,” katanya lagi.

Menurut beliau tanah dua ekar mendukung dua blok itu akan dijadikan taman peringatan sebagai memperingati peristiwa Highland Towers runtuh itu.

Beliau menegaskan tidak ada sesiapa pun yang boleh atau dibenarkan membeli tanah itu untuk tujuan pembangunan kerana akan menjadi taman peringatan sepenuhnya.

“Kita akan menulis surat untuk proses pengambilan tanah disamping perbincangan mendapatkan persetujuan 15 penghuni terakhir itu dan kita tunggu cukup bulan sebelum melaksanakan kerja roboh.

“25 tahun mereka tidak mahu muncul kini persetujuan dan kerjasama mereka penting dan diperlukan kerana perubahan ini penting demi negara dan kepentingan awam yang mana majoriti penduduk asal serta masyarakat sekitar sudah menyokong inisiatif kerajaan di tapak kondominium itu.

“Malah penduduk sekitar di rumah teres yang tinggalkan kawasan ekoran tragedi Highland Towers pun gembira dengan langkah kerajaan yang mahu merobohkan bangunan konkrit itu dijadikan taman peringatan.

“Mereka tidak sabar untuk balik ke kawasan itu semula kerana pelaksanaan taman peringatan kembali memberi harapan apabila nilai hartanah rumah mereka sebelah kawasan tragedi itu akam kembali melonjak semula,” tegasnya.- MalaysiaGazette