Wan Zumaiza (dua dari kiri) menyerahkan sumbangan RM2,500 kepada ibu Syamil, Zalian Mat Saman.

KUALA LUMPUR – Penderitaan Muhammad Syamil Ahnaf yang menghidap penyakit kegagalan hati berfungsi atau biliary atresia sejak lahir terus mendapat perhatian pelbagai pihak.

Selepas Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Kamaruddin Jaafar yang juga Timbalan Menteri Pengangkutan membuat lawatan, Syamil dikunjungi Jabatan Perpaduan Integrasi Nasional yang diketuai Pegawai Pegawai Perpaduan Cheras, Wan Zumaiza Wan Mustapha.

Pada pertemuan itu, Wan Zumaiza menyerahkan sumbangan RM2,500 hasil derma kilat yang dijalankan jabatan itu dan diserahkan kepada bapa Syamil, Mohd. Soofian Ahmad.

Derma itu akan diteruskan sehingga akhir tahun ini dalam usaha meringankan kos rawatan bayi berusia setahun tiga bulan itu.

“Alhamdulillah, rezeki Syamil dan saya sebak kerana mereka meneruskan kutipan  sehingga hujung tahun ini bagi menampung perbelanjaan ubat-ubatan, susu dan lampin pakai buang.

“Terima kasih kepada semua yang tampil memberi bantuan kepada Syamil selama ini,” kata Mohd. Soofian.

Selain biliary atresia, Syamil turut mengalami jangkitan kuman pada paru-paru, jantung tidak kuat dan tulang rapuh.

Mohd. Soofian, 46, mengakui keluarganya berdepan kesukaran hidup kerana kos rawatan dan ubatan Syamil sahaja memcecah RM1,500 sebulan.

Dia yang bekerja sebagai pengawal peribadi terpaksa mengambil cuti dua bulan tanpa gaji sejak awal April lalu manakala isterinya, Zaliah Mat Saman, 45, tidak bekerja sejak awal tahun ini untuk memberi tumpuan menjaga Syamil.

Mohd. Soofian turut memberitahu dia sudah dimaklumkan oleh doktor bahawa kos pembedahan Syamil dianggarkan mencecah RM250,000.

Dia berkata, doktor mencadangkan anaknya itu menjalani pembedahan pemindahan hati di hospital di China yang memiliki kepakaran terbaik di sana berkaitan penyakit hati.

Jelasnya, segala pengesahan mengenai pembedahan itu akan dibuat doktor bagi melakukan pemeriksaan ke atas Syamil selepas Aidilfitri nanti. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast