Temubual eksklusif bersama penghuni, Syahira di Rumah Perlindungan Nur Hati, Ampang, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 31 MEI 2019.

KUALA LUMPUR – Akibat tersilap langkah dalam meniti kehidupan pada usia muda, seorang remaja terpaksa melahir dan membesarkan anak tanpa suami.

Bukan itu sahaja, Syahira, 20 penuntut kolej swasta terpaksa beraya tanpa anak meskipun Aidilfitri ini merupakakan pengalaman pertama menjadi ibu.

Dia selamat melahirkan bayi yang kini berusia empat bulan dan kini ditinggalkan di Rumah Perlindungan Nur Hati.

Segalanya bermula apabila dia terlanjur bersama teman lelaki yang akhirnya enggan bertanggungjawab terhadap kandungannya.

Tentunya tidak mudah bagi gadis ini menyembunyikan kandungannya, namun dia bersyukur kerana ibunya dan rakan-rakan yang memberi sokongan kuat.

Masih tidak bersedia memaklumkan kepada bapanya, maka ibu Syahira menasihatkannya untuk tinggal sementara waktu di rumah perlindungan di Ampang itu.

“Dia (bekas teman lelaki) memang bagi tahu dia tidak mahu ambil tahu langsung tentang anak dalam kandungan saya masa tu.

“Jadi saya buat keputusan untuk jaga anak ini sebab saya dapat banyak sokongan rakan-rakan saya.

“Bila saya beri tahu ibu saya, ibu pun menyokong untuk saya lahirkan anak dan menjaganya. Setakat ini hanya ibu sahaja yang tahu, bapa saya tidak tahu.Alhamdulillah ibu redha dan boleh terima.

“Saya akan tinggal anak seminggu ini untuk balik beraya bersama keluarga,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika ditemubual.

MGF31052019_RUMAH NUR HATI16
Temubual eksklusif bersama penghuni, Syahira di Rumah Perlindungan Nur Hati, Ampang, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 31 MEI 2019.

Berkongsi detik-detik terpaksa berterus-terang dengan ibunya tentang kandungannya yang mencecah lebih empat bulan ketika itu, Syahira sebelum itu pernah terfikir untuk menggugurkan kandungannya.

Namun kerana risiko tinggi terhadap nyawanya dan mengenangkan anaknya yang tidak berdosa maka Syahira nekad melahirkan anak lelakinya meskipun masih berstatus penuntut.

“Masa saya beritahu ibu, kandungan dah lebih empat bulan. Kalau saya nak ambil keputusan bodoh untuk gugurkan, itu membahayakan kedua-dua nyawa,” ujarnya.

Rutin harian Syahira jika tidak mempunyak kelas akan balik ke Rumah Perlindungan Nur Hati untuk menjaga anaknya.

“Buat sementara waktu saya akan tinggal di sini sebab saya masih belajar, setiap hujung minggu saya akan ulang alik ke sini masa,” tambahnya.

Dia yang akan menamatkan pelajarannya dua tahun lagi itu menasihatkan generasi muda supaya menjadikan jalan cerita hidupanya ini dijadikan iktibar supaya tidak melakukan kesilapan seperti dirinya. – MalaysiaGazette