Penempatan tahanan di Del Rio, Texas. foto Agensi

TEXAS – Ejen peronda sempadan Amerika Syarikat di Texas telah menahan beratus-ratus orang pendatang dari negara-negara Afrika sepanjang minggu lalu.

Pengawal Kastam dan Sempadan Amerika Syarikat (CBP) berkata, “kenaikan dramatik” jumlah pendatang dari negara-negara Afrika yang tiba di kawasan itu adalah “krisis kemanusiaan”.

Lebih 500 pendatang Afrika telah tiba di sektor peronda sempadan Del Rio pada minggu lalu sejak 30 Mei.

Kebanyakan mereka adalah keluarga yang telah mengembara dari Angola, Kamerun dan Republik Congo, kata CBP.

Minggu lepas, pada 30 Mei, satu kumpulan besar seramai 116 orang yang mengembara dari negara-negara Afrika tiba di sempadan selatan.

Dalam satu kenyataan, ejen peronda Del Rio Sector Raul L Ortiz memaklumkan halangan bahasa dan perbezaan budaya juga meletakkan “beban tambahan di stesen pemprosesan sempadan”.

Kebanyakan migran juga telah pergi ke San Antonio di Texas, kira-kira 240 km (150 batu) dari Del Rio.

Seorang jurucakap kerajaan bandar San Antonio memberitahu mereka “mengendalikan pusat sumber bagi mereka yang melancong” dan telah “bekerjasama dengan badan amal” untuk menyediakan keperluan makanan seperti makanan dan tempat tinggal.

Wartawan berita setempat Jaleesa Irizarry juga melaporkan bandar itu “sangat memerlukan sukarelawan berbahasa Perancis” dan pusat-pusat tempatan menjangka sehingga 300 pendatang lagi tiba dalam beberapa hari akan datang.

Walau bagaimanapun, dalam wawancara baru-baru ini dengan NPR, beberapa pendatang Afrika menggambarkan perjalanan dari negara asal mereka ke Brazil, sebelum menuju ke utara melalui Colombia dan Amerika Tengah ke arah sempadan Amerika Syarikat-Mexico.

Perjalanan semacam itu biasanya mengambil masa beberapa bulan.

Setakat ini jumlah pendatang yang ditahan hampir 19,000 orang. – MalaysiaGazette