Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri mempunyai keistimewaan tertentu, termasuk melantik Latheefa Koya sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Oleh demikian Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohamed Hanipa Maidin berkata, perkara itu perlu disedari oleh pihak-pihak yang mempertikaikan pemilihan Latheefa sebagai mutakhir .

“Untuk berlaku adil pada YAB PM, pihak-pihak juga sewajarnya perlu sedar bahawa jawatan PM juga ada bersamanya keistimewaan-keistimewaan tertentu yang mungkin tidak ada pada jawatan lain,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Bagaimanapun Hanipa yang juga Ahli Parlimen Sepang yakin Tun Dr. Mahathir Mohamad selaku Perdana Menteri tidak akan menyalahgunakan kelebihan dan keistimewaan yang dimilikinya itu.

Sebaliknya beliau yakin isu pelantikan itu akan dapat diselesaikan secara berhemah oleh Perdana Menteri dan barisan Kabinet yang lain.

Terlebih dahulu Hanipa mendedahkan beliau menerima banyak aduan mengenai pelantikan Latheefa yang merupakan bekas ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebagai peneraju SPRM.

Bagaimanapun tambahnya, penentangan terhadap keputusan yang dibuat Dr. Mahathir itu secara majoriti berkisar tentang proses bukannya kelayakan Latheefa.

“Aduan yang saya terima kebanyakannya berkisar lebih kepada isu proses pelantikan tersebut. Antaranya, isu dakwaan ketiadaan ketelusan dan konsultasi yang sepatutnya, isu dakwaan pelanggaran janji bertulis di dalam buku Manifesto Pakatan Harapan (PH) , isu ketiadaan perbincangan dalam Kabinet dan/atau Majlis Presiden PH, isu kebimbangan ‘lack of impartiality’ di pihak saudari Latheefa, mengambil kira latar belakang beliau, dan pelbagai isu yang lain.

“Ya, sudah tentu kita semua tidak mahu melihat YAB PM ‘menyalahgunakan’ hak istimewa tersebut dan saya juga tidak nampak bagaimana ia boleh ‘disalahgunakan’.

“Justeru itu saya yakin dan percaya YAB PM dan para anggota Kabinetnya serta pemimpin tertinggi PH InsyaAllah akan berjaya menyelesaikan kemelut ini dengan baik dan berhemah,” ujarnya.

Terdahulu Dr. Mahathir mengaku pelantikan Latheefa merupakan keputusannya sendiri tanpa berbincang dengan anggota Kabinet. – MalaysiaGazette