KUALA LUMPUR – Ringgit dijangka didagangkan di bawah paras 4.15 berbanding dolar US pada minggu depan, menjejaki prestasi mata wang Asia lain yang memanfaatkan jangkaan bahawa pihak Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed) akan menurunkan kadar faedah.

Penganalisis pasaran FXTM, Han Tan berkata, jangkaan penurunan kadar faedah oleh Fed itu yang melemahkan dolar US tetapi sebaliknya mengurangkan tekanan terhadap mata wang Asia termasuk ringgit pada minggu depan.

Berikutan itu, ringgit dijangkakan dapat didagangkan pada paras di bawah 4.15 berbanding dolar US.

“Jika petunjuk ekonomi Amerika Syarikat pada minggu depan menunjukkan ekonominya lemah, ini akan hanya meningkatkan lagi jangkaan bahawa pihak Fed akan mengurangkan kadar faedah pada bulan-bulan berikutnya,” katanya kepada Bernama.

Malah, Amerika Syarikat dijangka membuat pengumuman data seperti Indeks Harga Pengguna (IHP) Mei 2019 pada 12 Jun dan diikuti laporan awal tuntutan pengangguran pada 13 Jun.

Selain itu, kata Tan, China juga akan mengumumkan data perdagangannya untuk Mei 2019 pada 10 Jun dan data IHP Mei 2019 pada 12 Jun.

Beliau berkata, data China yang diumumkan kelak boleh mempengaruhi prestasi mata wang serantau sekiranya ketahanan ekonomi China terbukti mengatasi impak akibat ketegangan perdagangannya dengan Amerika Syarikat.

“Sentimen risiko pasaran dijangka terus dijejaskan oleh halangan perdagangan global yang berpotensi melemahkan prospek ekonomi dunia pada 2019 dan tempoh seterusnya.

“Oleh itu, bagi minggu depan, pendedahan ringgit kepada faktor luaran akan terus menjadi tumpuan,” katanya.

Sementara itu, Rakan Pengurusan Vanguard Markets, Steve Innes berkata walaupun ringgit telah disokong oleh pasaran yang menjangkakan pihak Fed menurunkan kadar faedah pada minggu ini, unit tempatan itu sebaliknya masih berpotensi untuk dijejaskan perkembangan perang perdagangan Washington-Beijing berikutan hubungan dagangan antara Malaysia dengan China.

“Memandangkan Presiden Donald Trump terus mengancam untuk melaksanakan lebih banyak tarif, asas ringgit-dolar US juga terus dipantau walaupun pihak Fed berpendirian menurunkan kadar faedah itu,” katanya.

Bagi minggu ini yang menyaksikan dagangan singkat berikutan cuti umum AidilFitri pada Rabu dan Khamis, ringgit diniagakan mengukuh berbanding dolar US, didorong terutamanya oleh data perdagangan di luar jangkaan apabila eksport April naik 1.1 peratus tahun ke tahun kepada RM85.2 bilion selain penurunan dolar US.

Pada asas Jumaat hingga Jumaat, ringgit mengukuh kepada 4.1570/1620 berbanding dolar US daripada 4.1890/1920 sebelum ini.

Ia turut diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang utama lain.

Ringgit meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.0396/0444 daripada 3.0399/0432 sewaktu ditutup pada Jumaat lepas dan naik kepada 3.8275/8331 daripada 3.8512/8544 berbanding yen.

Namun, berbanding pound Britain, ringgit susut kepada 5.2844/2924 daripada 5.2693/2748 dan turun berbanding euro kepada 4.6787/6860 daripada 4.6703/6741 sebelum ini. – MalaysiaGazette