WASHINGTON – Amerika Syarikat membatalkan pelaksanaan tarif ke atas Mexico selepas negara itu bersetuju memperhebatkan program suaka yang menjadi kontroversi serta menempatkan pasukan keselamatan bagi menangani aliran masuk pendatang asing Amerika Tengah.

Presiden Donald Trump telah mengancam untuk melaksanakan tarif import sebanyak 5 peratus ke atas semua barangan Mexico mulai Isnin ini jika negara itu gagal memperketatkan kawalan sempadan.

Dalam deklarasi bersama selepas mengadakan rundingan selama tiga hari di Washington, kedua-dua negara berkata, Mexico bersetuju untuk menghantar balik pendatang asing yang mencari suaka politik di Amerika Syarikat ke Mexico sementara menunggu penyelesaian kes mereka.

Trump berkata, Mexico telah bersetuju untuk mengambil pendekatan kukuh untuk mengurangkan atau menghapuskan pendatang haram dari Mexico.

Bagaimanapun, kesepakatan itu tidak memenuhi tuntutan utama Amerika Syarikat supaya Mexico menerima sebutan sebagai “negara ketiga yang selamat” yang akan memaksanya untuk terus mengambil kebanyakan pencari suaka di Amerika Tengah.

“Tarif yang dijadualkan dilaksanakan oleh Amerika Syarikat terhadap Mexico digantung tanpa had,” kata Trump menerusi Twitter.

Trump sebelum ini mengancam untuk mengenakan tarif itu selepas berlaku peningkatan pendatang asing di sempadan selatan Amerika Syarikat.

Ancaman Trump itu menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan sekutu Republikan yang menyifatkan tindakan itu menjejaskan ekonomi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast