miskin, orang asli
Gambar hiasan. foto HAZROL ZAINAL, 16 JANUARI 2019.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 29 kes kejadian kluster jangkitan saluran pernafasan dikesan dalam kalangan Orang Asli, suku Batek, di Kuala Koh Gua Musang, Kelantan.

Pemeriksaan lanjut dilakukan ke atas mereka di Klinik Kesihatan Aring dan Chiku 3, Gua Musang selepas kejadian pertama dilaporkan lima hari lalu.

Ia dilakukan dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Orang Asli dan pasukan kesihatan dan perubatan yang segera mengkerahkan anggota mereka ke perkampungan Orang Asli itu.

Pengarah Kesihatan Kelantan, Dr Zaini Hussin berkata, hasilnya seramai 12 orang dirawat sebagai pesakit luar dan 17 lagi telah dirujuk ke Hospital Gua Musang.

Sebanyak tiga dari 17 kes tersebut dirujuk ke Hospital Kuala Krai untuk rawatan rapi, jelasnya.

Katanya, pesakit-pesakit berkenaan terdiri dari 19 orang perempuan dan 10 orang lelaki dengan pelbagai peringkat umur iaitu tiga orang bayi, 10 kanak-kanak dan 16 orang dewasa .

“Pemeriksaan klinikal juga mendapati mereka ini mempunyai tanda-tanda jangkitan di saluran pernafasan,” katanya dalam kenyataan.

Menurut beliau, Hospital Gua Musang dan Hospital Kuala Krai sedang melakukan beberapa ujian klinikal lanjutan bagi menentukan penyebab jangkitan tersebut.

Bagaimanapun jelas beliau, setakat ini keputusan ujian terhadap Tibi telah diperolehi dan keputusannya adalah negatif dan jabatan kesihatan negeri masih menunggu keputusan ujian lain.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kesemua mereka yang dirawat di Hospital Gua Musang dan Hospital Kuala Krai sejak 4 Jun lalu berada dalam keadaan stabil dan semakin pulih.

Berkaitan dakwaan dalam media sosial seramai 13 orang penduduk Orang Asli ditemui mati dalam tempoh sebulan, katanya, hasil verifikasi oleh Pejabat Kesihatan Daerah Gua Musang mendapati terdapat hanya dua kes yang meninggal dunia dan bedah siasat dilakukan di Hospital Gua Musang.

“Penyebab kematian adalah jangkitan paru-paru (Pneumonia) tetapi kematian bagi yang lain tidak dapat disahkan kerana tidak pernah dilaporkan kepada pihak hospital atau klinik-klinik kesihatan.

“Pada pagi semalam, pasukan dari Pejabat Kesihatan Daerah telah diarahkan untuk melakukan carian kes secara aktif (Active Case Detection) di Kuala Koh dan menemui 24 kes lagi yang mempunyai gejala demam dan batuk dan kesemuanya telah dibawa ke Klinik Kesihatan Chiku 3 untuk pemeriksaan dan rawatan.

“Pada masa ini, aktiviti kawalan telah dilakukan di lapangan melalui Pejabat Kesihatan Daerah Gua Musang di kawasan berkaitan dengan mengadakan pendidikan kesihatan seperti ceramah dan edaran risalah berkaitan penyakit berjangkit dan kebersihan diri serta persekitaran.

“Selain dari promosi kesihatan, carian kes secara aktif (Active Case Detection) ke atas semua penduduk kampung Orang Asli Kuala Koh dan pengesanan kontak di kawasan terlibat turut dilakukan.

“Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan akan terus bekerjasama dengan semua agensi yang terlibat dalam pengurusan pencegahan dan kawalan kejadian ini. Sebarang perkembangan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” ujarnya lagi.-MalaysiaGazette