A.Kohilan Pillai

KUALA LUMPUR – Petisyen mendesak Latheefa Beebi Koya meletakkan jawatan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Malaysia (SPRM) adalah satu langkah wajar untuk mewakili suara rakyat yang memberi mandat kepada Pakatan Harapan tetapi telah dikecewakan.

Bekas Naib Presiden Gerakan, Datuk A. Kohilan Pillai berkata, beliau turut menyokong petisyen yang dilancarkan untuk mengumpul tandatangan rakyat sebagai mendesak Latheefa berundur segera.

Beliau menyifatkan pelantikan bekas Pengarah Lawyer For Liberty itu tidak menepati janji Pilihan Raya sekali gus menjejaskan integriti SPRM itu sendiri.

“Dalam pilihanraya yang lepas rakyat Malaysia menyokong PH dengan harapan kerajaan PH akan lebih telus, amanah dan bersih.

“Namun tindakan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Melantik begitu ramai ahli politik dalam memegang jawatan jawatan penting termasuk (Latheefa) menghampakan harapan dan keyakinan rakyat terhadap Kerajaan semasa.

“Ini bukan sahaja tidak menepati menifesto PRU namun menunjukkan kerajaan lebih sombong, sepatutnnya pelantikan politik ini dihindarkan dan ia seharusnya melalui proses Jawatankuasa Pemilihan Parlimen,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

Tambah beliau, pelantikan dari parti PKR tanpa mendapat restu pimpinan Pusat parti merupakan satu proses yang salah dan menidakkan prinsip dan falsafah parti itu sendiri.

Malah katanya pembawaan petisyen mengumpul tandatangan menggesa Latheefa berundur satu langkah baik sepertimana dialu-alukan Nik Nazmi wakil rakyat PKR.

“Saya rasa ini akan mengundang pecah belah dalam parti pemerintah kedua terbesar memiliki jumlah kerusi agak banyak selepas DAP di parlimen.

“Mungkin mereka menganggap rakyat terima dengan hati terbuka tetapi gagal memikirkan janji manifesto dan intipatinya yang menyentuh mengenai SPRM dan jawatan tertinggi itu.

“Selain itu DAP dan Amanah kenapa membisu dalam hal ini tanpa menyatakan pendirian jelas sekutu PH itu dalam soal Latheefa,” katanya.

Kohilan juga menyatakan bahawa Shukri Abdull pernah menegaskan bahawa tujuan kembali ke SPRM untuk menyelesaikan dua kes berprofil tinggi dan isu berpuak dalam SPRM.

“Apakah beliau berjaya melakukannya… saya rasa lantikan Latheefa akan mengeruhkan lagi keadaan dimana lebih ramai puak puak akan wujud selepas ini.

“Apakah Latheefa Koya berani mengambil tindakan ke atas pemimpin PH terlebih dahulu sebagai membuktikan pegangan beliau iaitu adil dan telus.

“PH kini digelar bukan hanya gagal menepati manifesto, malah tidak cekap, tidak telus dan tidak beramanah kerana jauh lebih beza dengan laungan dan perjuangan asal PH,” tegas beliau. – MalaysiaGazette