Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador menyampaikan cenderamata kepada pengguna jalan raya yang pulang ke kampung halaman pada Program Kempen Keselamatan Jalan Raya Sempena Ops Selamat Balik Kampung Perayaan Aidilfitri 2019 di Perkarangan Tempat Letak Kereta Plaza Tol Gombak, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 03 JUN 2019

KUALA LUMPUR – Kempen Op Selamat Hari Raya Aidilfitri 2019 yang masuk hari ke-11 semalam merekodkan 13 kematian di jalan raya sekaligus menjadi jumlah keseluruhan kematian sebanyak 189 orang berbanding 176 orang pada hari ke-10.

Ketua Komunikasi Korporat Polis Diraja Malaysia (PDRM), Urusetia Ketua Polis Negara (KPN), Datuk Asmawati Ahmad berkata, sebanyak 18,053 kemalangan direkodkan melibatkan 25,532 kenderaan di atas Lebuhraya, Lebuhraya Persekutuan dan Jalan Bandar setakat ini.

Katanya, mengikut Statistik Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik PDRM, secara keseluruhannya sebanyak 177 kes kemalangan maut, 69 kes cedera parah dan 157 kecederaan ringan dilaporkan pada Op Selamat setakat ini.

Berdasarkan statistik kemalangan maut dan kematian mengikut negeri, Selangor masih mendahului carta dengan mencatatkan kes tertinggi iaitu sebanyak 4,517 kes kemalangan, 33 kemalangan maut dan 33 kematian.

Johor menduduki tempat kedua dengan merekodkan 2,781 kes kemalangan, 25 kes maut dan 28 kematian.

Kuala Lumpur merekodkan jumlah kemalangan ketiga tertinggi iaitu 2,140 kes, 4 kes maut dan 6 kematian.

Perlis satu-satunya negeri yang merekodkan jumlah kes kemalangan paling sedikit iaitu 78 kes, tiga kemalangan maut dan 4 kematian.

Selain Perlis lapan negeri lagi mencatatkan bilangan kemalangan di bawah 1,000 kes manakal Kedah menghampiri 1,000 kes merekodkan 973 kes kemalangan, 16 kemalangan maut menyebabkan 16 kematian.

Selain itu, polis telah mengeluarkan 241,144 saman menerusi 3,226 operasi setakat ini.

Pasukan Bukit Aman menjalankan 291 operasi penguatkuasaan Op Selamat dan sebanyak 48,370 saman atas pelbagai kesalahan dikeluarkan.

Manakala Selangor menduduki tempat kedua dengan jumlah saman kedua tertinggi iaitu 33,310 saman menerusi 502 operasi.

Johor merekodkan 169 operasi penguatkuasaan Op Selamat dan 19 278 saman dikeluarkan setakat ini. – MalaysiaGazette