KUALA LUMPUR – Ketua pegawai eksekutif di Malaysia mengekalkan tinjauan positif dengan lapan daripada sepuluh optimis dengan prospek pertumbuhan syarikat mereka dan industri di mana mereka beroperasi.

Daripada jumlah ini, 60 peratus mengunjurkan pertumbuhan hasil kasar sehingga dua peratus dalam tempoh tiga tahun akan datang, demikian menurut laporan 2019 Global CEO Outlook yang dikeluarkan oleh KPMG International.

Di peringkat global, ketua perniagaan optimis dengan masa depan dengan 94 peratus yakin dengan prospek pertumbuhan organisasi mereka, peningkatan lebih 90 peratus dari 2018.

Bagaimanapun, laporan itu mendedahkan ketua pegawai eksekutif semakin bimbang dengan ancaman-ancaman yang ada.

Menurut laporan itu, ketua perniagaan di Malaysia dan di seluruh dunia menyenaraikan risiko alam sekitar dan perubahan iklim sebagai ancaman terbesar kepada pertumbuhan organisasi, diikuti oleh ancaman yang disebabkan oleh teknologi disruptif, keganasan, keselamatan siber dan operasi.

Laporan itu menyimpulkan bahawa ketua pegawai eksekutif menumpukan untuk membina daya tahan organisasi yang diperlukan bagi menangani gangguan dan mengekalkan momentum pertumbuhan.

Pengarah Urusan KPMG di Malaysia, Datuk Johan Idris berkata, lebih banyak syarikat di rantau ini telah menyesuaikan strategi perniagaan mereka untuk menangani kejutan berkaitan iklim berikutan pasaran global yang saling berkaitan.

Beliau berkata, perubahan iklim memberi kesan kepada landskap perniagaan dan kos menjalankan perniagaan menerusi kerosakan ekonomi dan prasarana, kekurangan sumber, gangguan dalam pengeluaran perladangan dan rantaian bekalan, dan perubahan sentimen pengguna serta tingkah laku dalam menyokong perniagaan beretika.

“Perniagaan berfungsi dalam ekosistem rakan kongsi, pembekal, dan perkhidmatan pelengkap yang memerlukan setiap komponen bekerja dengan secara cekap dan berkesan.

“Oleh itu, ketua pegawai eksekutif perlu melihat untuk membangunkan pelan dan dasar perniagaan yang mampan untuk mencapai daya tahan organisasi,” kata Johan.

KPMG juga mendapati strategi penggabungan dan pengambilalihan proaktif menjadi agenda bagi lapan daripada 10 ketua pegawai eksekutif di Malaysia dalam tempoh tiga tahun akan datang dalam usaha mencapai pertumbuhan.

Ketua perniagaan di Malaysia juga memberi keutamaan untuk berkembang ke pasaran sedang pesat membangun dalam tempoh tiga tahun akan datang dengan Amerika Tengah dan Amerika Selatan serta Timur Tengah menjadi sasaran utama mereka, serta negara dan rantau yang membentuk sebahagian daripada Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) China.

Sementara itu, 31 peratus daripada ketua pegawai eksekutif di ASEAN berwaspada dengan rundingan perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China dan kesannya terhadap pertumbuhan organisasi mereka.

“Kita boleh menjangkakan ketua perniagaan di rantau ASEAN memantau dengan rapat ketegangan perdagangan AS-China yang masih berlarutan dan bersiap sedia untuk berdepan dengan kesan sekiranya situasi itu terus memburuk,” kata Johan. – MalaysiaGazette