Ismee Ismail

KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Pegawai Eksekutif SRC International, Tan Sri  Ismee Ismail berkata, beliau bersara lebih awal daripada jawatan tersebut kerana bukan sahaja berbeza pendapat tetapi juga tidak ‘suka’ dengan cara akaun syarikat ditadbir ketika itu.

Ismee yang merupakan saksi ke-39 dalam perbicaraan SRC International Sdn Bhd telah melepaskan jawatan tersebut pada 15 Ogos 2014 kerana masalah ‘tadbir urus’ syarikat.

Beliau yang juga bekas Pengerusi Lembaga Pengarah 1Malaysia Development Bhd (1MDB), mengakui tidak boleh menerima cara Pengarah SRC International Sdn Bhd (SRC International), Nik Faisal Ariff Kamil Nik Othman Arif Kamil mengendalikan syarikat tersebut. 

Beliau yang juga bekas Pengarah Urusan Lembaga Tabung Haji itu pernah beberapa kali membangkitkan isu urus tadbir SRC International namun Nik Faisal akan ‘mendiamkan’ dirinya dengan mengatakan segala tindak tanduk sudah mendapat persetujuan daripada kerajaan.

“Oleh yang demikian, saya mengambil keputusan untuk bersara dengan lebih awal kerana tidak langsung bersetuju dengan cara, khasnya Nik Faisal dalam tadbir urus syarikat mahupun akaun.

“Saya juga difahamkan oleh Nik Faisal, kerajaan yang dimaksudkan itu adalah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak,” katanya ketika membaca kenyataan bertulis beliau.

Ismee kemudian diminta untuk mengecam wajah Nik Faisal oleh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Ishak Mohd Yusoff dan beliau mengangguk ketika gambar Nik Faisal ditunjukan kepadanya.

Nik Faisal telah menghilangkan diri sejak tahun 2015 dan  dipercayai berada di luar negara ketika ini. –MalaysiaGazette