Dr Najmil Faiz Mohamed Aris

KUALA LUMPUR – Salah satu kegagalan terbesar kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada hari ini kerana gagal mewujudkan peluang pekerjaan seperti yang terkandung dalam manifesto Pilihan Raya Umum ke-14.

Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Dr Najmil Faiz Mohamed Aris berkata, ia berbeza ketika pemerintahan kerajaan Barisan Nasional apabila sebanyak 3.6 juta peluang pekerjaan pada tahun 2018.

Beliau yang Sekretariat Profeisonal Muda Pemuda UMNO menegaskann, sektor perkhidmatan pula menyumbang sebanyak 54.4 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara dengan jumlah nilai sebanyak RM1.5 trilion pada 2017.

“Kita jangan lupa jasa terbesar kerajaan BN untuk membantu graduan lepas universiti dengan mewujudkan Skim Latihan 1 Malaysia (SL1M) elaun bulanan sebanyak RM 2,000.

“Hampir 140,000 graduan di negara ini mendapat pekerjaan menerusi SL1M yang dilancarkan pada Jun 2011 dan pelbagai lagi dasar dan usaha kerajaan BN seperti Program Transformasi Ekonomi telah berjaya mewujudkan peluang pekerjaan.

“Kepada pemimpin PH, hentikanlah politik balas dendam dan fokus kepada pentadbiran kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Kedah mahu kerajaan PH memberi tumpuan untuk mewujudkan peluang pekerjaan berkualiti pada tahun kedua pemerintahannya.

Timbalan Ketuanya, Mohd Aizuddin Ariffin berkata, ia bagi memenuhi komitmen kerajaan dalam manifesto PH untuk mewujudkan sejuta peluang kerja berkualiti.

Menurutnya, ini kerana kadar pengangguran kalangan siswazah meningkat kepada 9.4 peratus bersamaan 204,000 orang mewakili 40 peratus kadar pengangguran keseluruhan negara, iaitu sekitar 516,000 orang.

Mengulas lanjut, Najmil menambah, manifesto PH khasnya oleh Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman adalah retorik politik dan penipuan semata-mata untuk mewujudkan peluang pekerjaan.

Jelas beliau pada hari ini, kadar pengangguran semakin meningkat dan golongan belia paling teruk terkesan.

“Itu belum lagi kita menyentuh dasar PTPTN (Pinjaman Tabung Tinggi Pendidikan Nasional) yang telah diubahsuai kerajaan PH yang makin membebankan golongan graduan.

“Buktinya, kerajaan PH adalah kegagalan terbesar negara dan anak muda perlu bangkit melawan kezaliman kerajaan ini,” katanya. – MalaysiaGazette