Parti Keadilan Rakyat.

KUALA LUMPUR – Individu yang membuat laporan polis kerana mendakwa dipukul oleh seorang Pengerusi Perhubungan Negeri Parti Keadilan Rakyat (PKR) didakwa mempunyai  masalah disiplin dan terlibat dengan dadah.

Malah, beliau yang merupakan pegawai penyelidik sukarela telah dibuang kerja ekoran masalah yang ditimbulkan, kata Setiausaha Akhbar, Pejabat Datuk Seri Anwar Ibrahim, Tunku Nashrul Tunku Abaidah.

Menurut beliau, beberapa saksi di pejabat tempat berlakunya insiden tersebut memaklumkan kecederaan yang dialami oleh individu terbabit merupakan kesan kecederaan lampau dan bukannya seperti yang didakwa oleh pengadu.

“Saksi di pejabat juga memberitahu individu terbabit masuk ke premis tanpa izin pada hari kejadian.

“Tiada sebarang insiden tidak diingini berlaku seperti yang diperkatakan individu terbabit,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau turut mendakwa, individu terbabit sering mendatangkan masalah apabila sering meminta wang daripada rakan pejabat yang lain selain ‘panjang tangan’.

Tunku Nashrul turut memaklumkan, satu laporan polis telah dibuat wakil di pejabat berkenaan terhadap individu terbabit.

MalaysiaGazette melaporkan individu tersebut membuat laporan polis mendakwa dibelasah sehingga mengalami kecederaan parah.

Perkara itu disahkan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat yang memberitahu kes itu sedang disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan.

Difahamkan, insiden berkenaan berpunca daripada salah faham kecil yang kemudiannya meleret sehingga tumbuk menumbuk. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

https://malaysiagazette.com/blog/2019/06/10/pengerusi-perhubungan-negeri-pkr-belasah-pegawai-penyelidik-anwar/