Datuk Seri Anwar Ibrahim
Datuk Seri Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa semua rakan-rakan dalam PKR dan Pakatan Harapan (PH) menerima keputusan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad melantik Latheefa Beebi Koya sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Kenyataan Presiden PKR itu menyusul selepas pelantikan bekas Pengarah Lawyer For Liberty dan ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR berkenaan mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan pimpinan PH, Badan Bukan Kerajaan dan masyarakat.

Katanya, polemik terbuka secara berterusan ini dikhuatiri akan mendorong implikasi negatif terhadap citra dan imej Kerajaan PH.

“Saya yakin, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan pimpinan PH akan menilai segala pandangan dengan penuh prihatin dan selanjutnya akan menjelaskan kepada Kabinet dan Majlis Presiden PH.

“Maka dengan ini saya menggesa semua rakan-rakan menerima keputusan Tun Dr Mahathir dan memberikan ruang kepada Latheefa dan SPRM untuk melaksanakan tugas dengan tegas dan berkesan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, secara positif polemik itu memperkukuhkan komitmen PH untuk memastikan SPRM melaksanakan tugas secara adil.

Justeru katanya, ia selaras dengan kenyataan Dr. Mahathir di Melaka hari ini bahawa penjawat awam menjadi golongan berkecuali dan mengelakkan diri daripada ikatan terlalu kuat dengan parti politik di belakang kerajaan memerintah.

“SPRM dituntut bertindak terhadap semua kes rasuah sama ada pentadbiran lama dan baharu.

“Maka Pimpinan PH, NGO dan rakyat pasti akan terus memantau perjalanan dan keberkesanan agensi itu,” ujar beliau. – MalaysiaGazette

https://malaysiagazette.com/blog/2019/06/07/pm-perlu-beri-penjelasan-mengenai-pelantikan-latheefa-anwar/