KUALA LUMPUR – Rakaman yang menunjukkan sebuah kenderaan peronda (MPV) polis melawan arus sebenarnya merupakan tindakan awal pihak berkuasa itu dalam mengawal satu situasi kemalangan.

Perkara tersebut bukanlah satu kesalahan yang dilakukan oleh anggota pasukan berkenaan, sebaliknya ia merupakan satu tindakan pantas bagi mengawal trafik di lokasi kemalangan.

Timbalan Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, anggota peronda yang terlibat memberi respons terhadap maklumat yang diterimanya berhubung insiden kemalangan tidak jauh dari Plaza Tol Perling.

Katanya, anggota berkenaan yang kebetulan berada tidak jauh dari lokasi kejadian berpatah balik selepas selepas menerima laporan kejadian pada pukul 2.30 pagi di Lebuhraya Linkedua.

“Ketika berada berhampiran Plaza Tol Perling arah pusat bandar Johor Bahru, peronda dimaklumkan tentang kemalangan yang berlaku tidak jauh dari situ.

“Peronda lebuh raya berpatah balik ke lokasi kemalangan bagi membantu mangsa kemalangan memandangkan ia hanya diterangi lampu jalan dan jarak dari Plaza Tol Perling lebih kurang 1.5 kilometer.

“Tindakan awal diambil bagi memberi respons segera dalam membantu mangsa kemalangan serta mengawal penyuraian trafik sebelum bantuan kecemasan diambil untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah beliau, anggota terlibat juga telah mengambil semua langkah keselamatan semasa berpatah balik dengan melawan arus.

“Ia termasuk memasang lampu mata arah (beacon light), siren dan menggunakan lorong kecemasan.

“Tindakan segera berpatah balik terpaksa diambil kerana ‘volume’ lalu lintas pada masa tersebut tidak sesak dan selamat untuk tindakan awal serta lokasi yang berdekatan,” ujarnya.

Katanya lagi, siasatan terperinci berhubung perkara itu juga sedang dijalankan oleh pihaknya berhubung perkara yang ditularkan.

Semalam, tular di laman sosial apabila satu rakaman menunjukkan sebuah MPV polis bergerak laju dengan melawan arus di sebuah lebuh raya.

Rakaman tersebut diambil pada waktu malam dan turut kelihatan pada video berdurasi 0.34 saat itu satu kemalangan, di mana kereta peronda berkenaan berada di situ.

Insiden tersebut telah digambarkan oleh pihak yang memuat naik rakaman berkenaan sebagai berpunca daripada kesalahan kenderaan peronda yang bergerak melawan arus itu. – MalaysiaGazette