Nash

KUALA LUMPUR – Rumah vokalis kumpulan Lefthanded, Nash di Shah Alam, Selangor dipecah masuk pencuri kira-kira pukul 5.30 pagi kelmarin.

Dia yang memaklumkan perkara terbabit berkata berasa terkejut sebaik pulang dari kampung dan menyedari rumahnya dalam keadaan berselerak.

Katanya lagi, terdapat kesan umpil di tiga pintu bilik namun, tiada barang berharga hilang.

“Kami baru sampai dari Muar, Johor selepas enam hari beraya di kampung. Saya terkejut sebaik sahaja pintu dibuka, keadaan rumah tidak seperti yang kami tinggalkan.

“Saya tidak dapat agak bila kejadian itu berlaku kerana kami balik kampung sehari sebelum sambutan hari raya.

“Saya bagaimanapun, bersyukur kerana ketika kejadian, tiada sesiapa di rumah, malah tiada barangan berharga yang dilarikan,” katanya memetik laporan BH Online.

Menurut penyanyi yang terkenal dengan lagu Ku Di Halaman Rindu, Lanun dan Tiada Lagi Kidungmu itu, pencuri mungkin tidak sempat melarikan apa-apa kerana takut dengan bunyi bising disebabkan ayam di sekitar rumah.

“Apa yang penting, keluarga saya dijauhkan daripada musibah,” katanya.

Nash atau nama sebenarnya Jamaluddin Elias mendedahkan terdapat tiga lagi kediaman di kejiranan sama yang turut dipecah masuk pada minggu pertama raya.

Nash, 58 membuat laporan di Balai Polis Seksyen 6, Shah Alam, Ahad lalu.

Tambahnya lagi, kecurian itu adalah kejadian kedua yang dialaminya sejak hampir 30 tahun menetap di kawasan perumahan itu.

Susulan kejadian, penyanyi Pada Syurga Di Wajahmu itu turut merancang untuk memasang kamera litar tertutup (CCTV) bagi mengetatkan lagi sistem keselamatan di kediamannya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast