Ainul Mardhiah kini semakin aktif.

KUALA LUMPUR – “Ainul dah sedar, alhamdulillah ❤,” demikian perkongsian Ahmad Safiuddin Ahmad Razak mengenai keadaan Ainul Mardhiah yang selamat menjalani pembedahan di sebuah hospital di London.

Menurut beliau, bayinya masih dalam unit penjagaan rapi untuk memastikan Ainul betul-betul sihat sebelum dipindahkan ke wad biasa.

Beliau meminta orang ramai terus mendoakan Ainul kuat dan cepat sihat.

Semalam, Dr Nur Amalina Che Bakri, telah berkongsi tentang kejayaan pembedahan Ainul Mardhiah yang menghidapi kanser mulut Germ Cell Tumor.

Pembedahan selama lima jam itu berjaya mengeluarkan tumor seberat 200 gram dari dalam mulut bayi itu.

Pasukan pembedahan itu membabitkan pelbagai pakar termasuk perunding kepala dan leher, plastik dan kraniofasial yang diketuai oleh Prof. David Dunway dan Dr Juling Ong, selain Dr Nur Amalina.

Sebelum itu, Ahmad Safiuddin berkata, tanpa sokongan penduduk Malaysia mungkin Ainul tidak berada dalam keadaan sekarang.

“Saya tak mampu nak berkata apa-apa ketika ini, tapi saya teringin nak post bendera malaysia di FB sebab nak tunjuk bahawa tanpa mengira agama dan bangsa, anda semua telah membuatkan Ainul berjaya hari ini ( izinNya )

“Tanpa doa dan sokongan dari kalian, mungkin ainul dan kami tidak akan sampai ke tahap ini. Anda, Rakyat Malaysia, kami doakan Tuhan memberikan kebaikanNya dalam kehidupan anda semua,” kata Ahmad Safiuddin menerusi Facebooknya. – MalaysiaGazette